Langkawi jadi tumpuan, hotel catat lebih 90 peratus tempahan

LANGKAWI - Pulau Langkawi kembali menjadi tumpuan pelancong susulan kadar penginapan hotel mencapai lebih 90 peratus pada cuti penggal persekolahan bermula minggu hadapan.
Peningkatan itu juga didorong situasi semasa di Hatyai yang lumpuh setelah kebanyakan destinasi percutian di bandar itu ditenggelami banjir besar baru-baru ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin berkata, industri pelancongan pulau itu kini bersedia menerima peningkatan pelancong secara mendadak dalam tempoh dua minggu terakhir Disember sempena cuti sekolah dan Krismas.
"Berdasarkan maklumat, kadar tempahan hotel di Pantai Cenang dan Pantai Tengah, selain beberapa hotel sekitar pekan Kuah sudah mencecah lebih 90 peratus.
"Justeru, kita sasar 400,000 pelancong berkunjung ke Pulau Langkawi Disember ini," katanya pada media selepas program Jalinan Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITE) di Parkroyal Langkawi Resort di sini pada Isnin.
Menurut beliau, unjuran itu realistik memandangkan Disember adalah musim kemuncak percutian, selain program 'Langkawi Special Deals' yang menawarkan diskaun sehingga 70 peratus," katanya.
Beliau menjelaskan, peningkatan pengunjung ke Langkawi berupaya memenuhi sasaran 3.5 juta pelancong ke pulau itu tahun ini.
"Sehingga 30 November lalu, Langkawi mencatatkan 2.75 juta ketibaan pelancong," katanya.
Beliau menambah, penganjuran acara besar seperti Half Marathon Antarabangsa Langkawi 2025 turut menyumbang kepada peningkatan dengan 20,000 peserta dan ahli keluarga hadir ke pulau itu pada tiga hari lalu.
Mengulas penganjuran LITE yang memasuki edisi ketiga, Wan Kamarul Faisal berkata, program tiga hari itu mempertemukan 60 pembeli dari China, India, Taiwan dan Brunei dengan 100 penjual mewakili 50 syarikat pelancongan dari Langkawi.
"Perwakilan dibawa melihat secara dekat landskap Geopark Global UNESCO Langkawi, selain pendedahan kepada pelbagai hospitaliti daripada penginapan mewah kepada produk pelancongan berasaskan komuniti," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Kedah/Perlis, Eugene Dass ketika dihubungi mengakui, kebanyakan hotel menerima tempahan tinggi pada Disember.
"Saya menyokong kenyataan itu...dan memang pada Disember, kebanyakan hotel fully booked," katanya.
Beliau dalam masa sama turut mengakui bahawa situasi sedemikian menyebabkan kebanyakan pengusaha hotel kini sedang membuat persiapan akhir untuk menerima pelancong ke pulau tersebut pada hujung tahun ini.
Ringkasan AI
- Pulau Langkawi menjadi tumpuan pelancong dengan kadar penginapan hotel mencapai lebih 90 peratus susulan cuti penggal persekolahan
- Situasi banjir di Hatyai menyebabkan pelancong memilih Langkawi sebagai destinasi alternatif
- Industri pelancongan Langkawi bersiap sedia untuk peningkatan pelancong secara mendadak dengan sasaran 400,000 pengunjung pada Disember
- Unjuran kedatangan pelancong tersebut disokong oleh program 'Langkawi Special Deals' yang menawarkan diskaun sehingga 70 peratus
- Penganjuran acara seperti Half Marathon Antarabangsa Langkawi 2025 dan program Jalinan Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITE) turut menyumbang kepada kedatangan pelancong
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

