Mahkamah Persekutuan Putrajaya jadi tumpuan pengamal media

PUTRAJAYA - Kompleks Mahkamah Persekutuan di sini menjadi tumpuan pengamal media bagi membuat liputan berkaitan hujahan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas tuduhan menyeleweng dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) pada Khamis.
Suasana di pekarangan kompleks mahkamah mula dipenuhi pengamal media yang hadir seawal jam 8 pagi bagi mengikuti perkembangan terkini kes berprofil tinggi itu.
Ibu, bapa dan kakak Ahli Parlimen Muar itu dilihat berjalan menuju ke tingkat atas kira-kira jam 8.15 pagi.
Turut kelihatan juga beberapa petugas keselamatan mahkamah menjalankan kawalan di sekitar pintu masuk hadapan kompleks berkenaan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, peluang terakhir pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis.
Mahkamah menetapkan prosiding berkenaan berlangsung selama dua hari sehingga Jumaat ini, di hadapan beberapa hakim.
Bagaimanapun, bilangan dan nama panel yang mendengar hujahan pihak pendakwaan dan peguam yang mewakili Syed Saddiq, 33, selaku responden hanya diketahui pada hari prosiding berlangsung.
Pendengaran kes berkenaan bermula dengan pasukan pendakwaan selaku perayu memulakan hujahan.
Mereka bakal membentangkan fakta yang perlu bagi panel hakim berkenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Ia membabitkan satu kes subahat pecah amanah dana berjumlah RM1 juta, satu pertuduhan salah guna harta (RM120,000) dan dua pengubahan wang haram (AMLA) masing-masing (RM50,000).
Jika mahkamah menolak rayuan pihak pendakwaan, bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu dilepaskan dan dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan bersalah serta hukuman terbabit.
Andai kata panel hakim membuat keputusan berbeza, bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tersebut berdepan hukuman penjara, denda dan sebatan tersebut.
Pada 22 September lalu, perayu mengemukakan 28 alasan bahawa Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah tertinggi wajar mengembalikan semula sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 25 Jun lalu.
Perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, daripada 15 daripadanya melibatkan tuduhan bersubahat pecah amanah di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan.
Sembilan lagi katanya, berkaitan kes salah guna harta di bawah Seksyen 403 kanun sama, manakala empat selebihnya berkaitan dua kes mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Mengikut petisyen yang difailkan, perayu berkata, panel Hakim Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila menuduh pihak pendakwaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tekanan terhadap saksi pendakwaan ke-13, Rafiq Hakim Razali, yang juga bekas Penolong Bendahari Armada dan saksi utama kes.
Ringkasan AI
- Kompleks Mahkamah Persekutuan Putrajaya menjadi tempat liputan media hujahan pendakwaan untuk kes Syed Saddiq
- Pengamal media dan keluarga Syed Saddiq hadir di mahkamah sejak awal pagi
- Pendakwaan mencuba mengetepikan keputusan pembebasan Syed Saddiq atas tuduhan menyeleweng dana
- Keputusan mahkamah akan menentukan sama ada Syed Saddiq akan dibebaskan sepenuhnya atau menghadapi hukuman
- Pendakwa mengemukakan 28 alasan untuk mengembalikan sabitan dan hukuman asal terhadap Syed Saddiq
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
