Kemunculan harimau di Bukit Bangkong: Polis perketat kawalan keselamatan

Noor Hisam (tengah) menyaksikan serah terima tugas jawatan Ketua Polis Daerah Ipoh antara Johari (kiri) dan Abdul Malik di Kompleks Perumahan PDRM Tapah, pada Selasa.
Noor Hisam (tengah) menyaksikan serah terima tugas jawatan Ketua Polis Daerah Ipoh antara Johari (kiri) dan Abdul Malik di Kompleks Perumahan PDRM Tapah, pada Selasa.
A
A
A

TAPAH - Polis memperketat kawalan keselamatan dan menutup sepenuhnya kawasan riadah Bukit Bangkong, Ipoh susulan kemunculan seekor harimau yang masih belum berjaya dikesan sehingga hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, langkah itu dibuat bagi menjamin keselamatan penduduk dan memastikan tiada pihak luar terutama pemburu haram memasuki zon larangan tersebut.

"Harimau ini masih hidup dan aktif. Kita bimbang kawasan itu menarik pemburu haram seperti kes di Pengkalan Hulu bulan lalu.

"Jadi sehingga haiwan itu tidak dijumpai, kawasan tersebut ditutup kepada orang ramai atas faktor kepentingan keselamatan.

"Kita tidak akan teragak-agak menahan mana-mana individu yang memasuki kawasan larangan tanpa kebenaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di Kompleks Perumahan PDRM Tapah di sini pada Selasa.

Dalam majlis itu, Superintenden Abdul Malik Hasim akan menggantikan Johari yang akan bertukar ke IPD Nilai sebagai Ketua Polis Daerah yang baharu.

Mengulas lanjut Noor Hisam berkata, sehingga kini tiada insiden baharu atau serangan terhadap manusia mahupun ternakan dilaporkan, namun haiwan tersebut dipercayai masih bersembunyi dan berlegar di sekitar kawasan hutan sama.

Katanya, sebagai langkah keselamatan, Balai Polis Tanah Hitam bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melakukan rondaan berterusan di kawasan sekitar di Ulu Chemor, Tanah Hitam dan Changkat Kinding bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Artikel Berkaitan:

"Perhilitan telah menggerakkan pasukan pakar serta memasang jerat dan umpan bagi menjejak serta menangkap haiwan ini.

"Kita harap jerat yang dipasang berjaya mengumpan harimau keluar dari kawasan persembunyiannya," katanya.

Dalam laporan sebelum ini, polis mengesahkan kejadian serangan harimau yang menyebabkan dua lembu ternakan penduduk mati dengan kesan gigitan, manakala lima lagi dilaporkan hilang.

 

Ringkasan AI

  • Polis memperketat kawalan keselamatan dan menutup kawasan riadah Bukit Bangkong, Ipoh kerana kemunculan harimau yang belum dikesan
  • Langkah ini untuk memastikan keselamatan penduduk dan mencegah pemburu haram memasuki zon larangan
  • Harimau tersebut masih hidup dan aktif, menimbulkan kebimbangan akan menarik pemburu haram
  • Tiada insiden serangan terhadap manusia atau ternakan dilaporkan, namun haiwan dipercayai masih bersembunyi di kawasan hutan
  • Perhilitan menggerakkan pasukan pakar serta memasang jerat dan umpan untuk menjejak dan menangkap harimau

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!