Umpan kambing perangkap 'Pak Belang' di Bukit Bangkong

Muhamad Arafat (dua dari kanan) meninjau kerja-kerja pemasangan perangkap harimau di Bukit Bangkong, Chemor pada Selasa.
Muhamad Arafat (dua dari kanan) meninjau kerja-kerja pemasangan perangkap harimau di Bukit Bangkong, Chemor pada Selasa.
A
A
A

IPOH – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak sudah memasang perangkap serta kamera bagi mengesan dan menangkap seekor harimau belang yang dikesan berkeliaran di Bukit Bangkong, Chemor di sini sejak beberapa hari lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, usaha dilakukan jabatan tersebut sangat dialu-alukan bagi memastikan haiwan liar tersebut tidak lagi mengganggu penduduk.

Menurutnya, bagi membantu mempercepatkan usaha menangkap haiwan berkenaan, seekor kambing turut disumbangkan sebagai umpan.

“Kita melihat sendiri betapa susah payah pasukan Perhilitan memasang perangkap demi memastikan keselamatan penduduk di kawasan ini.

"Pejabat DUN Hulu Kinta menyumbangkan seekor kambing sebagai umpan dan kita berharap harimau ini dapat ditangkap segera,” katanya ketika meninjau operasi pemasangan perangkap harimau itu pada Selasa.

Hadir sama Ketua Unit Konservasi Harimau Malaya Perhilitan Perak, Marina Yusof.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhamad Arafat menasihati penduduk agar mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengelakkan daripada memasuki kawasan hutan Bukit Bangkong buat sementara waktu.

Beliau juga memaklumkan bahawa laluan pendakian Bukit Bangkong ditutup sehingga operasi penangkapan selesai selain semua ternakan berhampiran turut dipindahkan bagi mengelak risiko serangan.

Jelasnya, Kampung Baru Tanah Hitam yang terletak berhampiran lokasi itu mempunyai kira-kira 500 buah rumah, manakala keseluruhan penduduk di kawasan Tanah Hitam dianggarkan 4,000 hingga 5,000 orang.

Artikel Berkaitan:

Pada 7 Disember lalu, media melaporkan penduduk di Bukit Bangkong, Chemor di sini bimbang apabila dikejutkan dengan laporan serangan haiwan liar dipercayai harimau belang.

Polis dalam pada itu turut mengesahkan menerima laporan serangan haiwan liar dipercayai harimau yang mengakibatkan dua lembu ternakan mati dan lima lagi hilang di kawasan terbabit.

 

Ringkasan AI

  • Perhilitan Perak memasang perangkap dan kamera untuk menangkap harimau belang di Bukit Bangkong, Chemor
  • ADUN Hulu Kinta menyumbangkan kambing sebagai umpan untuk menangkap harimau tersebut
  • Penduduk disarankan mengikuti arahan pihak berkuasa dan mengelak dari memasuki kawasan hutan Bukit Bangkong
  • Laluan pendakian Bukit Bangkong ditutup dan ternakan berhampiran dipindahkan untuk keselamatan
  • Serangan haiwan liar dipercayai harimau menyebabkan dua lembu mati dan lima hilang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!