Arsenal masih belum cukup bagus - Arteta

Arteta (kiri) yakin pemainnya mampu bermain lebih baik ketika menentang United. Foto AFP
Arteta (kiri) yakin pemainnya mampu bermain lebih baik ketika menentang United. Foto AFP
A
A
A

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta mengakui pasukannya masih belum mencapai tahap permainan sebenar yang mereka harapkan biarpun berjaya menewaskan Manchester United 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford pada Ahad.

Gol tunggal menerusi tandukan awal Riccardo Calafiori sudah memadai untuk memastikan kemenangan sekali gus mencatat dua kemenangan dalam tiga kunjungan terakhir Arsenal ke gelanggang keramat United itu.

“Penting untuk kami dapat keputusan ini tambahan pula dengan suasana di stadium dan kehadiran pemain baharu.

“Kami perlu rendah diri kerana cara gol itu dijaringkan dan dalam bola sepak, perlawanan ditentukan di kedua-dua kotak penalti, itulah yang kami lakukan hari ini.

“Saya lihat wajah pemain dan mereka mahukan lebih lagi. Kami tahu kami jauh lebih baik berbanding apa yang ditunjukkan pada waktu tertentu,” katanya.

Penampilan pertama penyerang baharu, Viktor Gyokeres bagaimanapun tidak begitu menjadi apabila gagal melakukan sebarang percubaan buat kali pertama sejak April 2023 ketika masih bersama Coventry City menentang Blackburn Rovers, sekali gus menamatkan rekod 69 penampilan liga dengan sekurang-kurangnya satu cubaan.

Namun, Arteta tetap berpuas hati dengan persembahan Gyokeres serta seorang lagi muka baharu, Martin Zubimendi yang digandingkan bersama Declan Rice dan Martin Odegaard di bahagian tengah.

“Saya sangat gembira dengan mereka, termasuk pemain gantian yang masuk memberikan impak besar. Ada yang masih belum mencapai tahap terbaik tetapi kami akan sampai ke sana,” ujar Arteta.

Sejak musim 2023/24, Arsenal sudah meledak 31 gol menerusi situasi sepakan penjuru dalam EPL iaitu sekurang-kurangnya 11 gol lebih berbanding pencabar terdekat, Liverpool (20 gol).

Artikel Berkaitan:

Kali ini Calafiori menyumbang gol hasil sepakan penjuru itu meskipun dibantu kesilapan penjaga gol gantian United, Altay Bayindir.

“Kami memang banyak berlatih sepakan set-piece dan itulah yang kami buktikan hari ini. Kami perlu terus menambah baik dan tidak boleh berhenti di sini.

“Kalau mahu bersaing di tahap tertinggi, kami mesti mantap di setiap posisi. Keyakinan yang ada akan meningkatkan lagi tahap permainan kami,” kata Calafiori.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!