Pembantu kedai makan rugi lebih RM70,000 ditipu sindiket kerja sambilan

KUALA TERENGGANU - Seorang pembantu kedai makan kerugian RM77,889 selepas diperdaya sindiket penipuan pekerjaan sambilan di dalam talian.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditawarkan pekerjaan berkenaan melalui aplikasi WhatsApp pada 4 Oktober lepas oleh seorang individu yang dikenali di laman sosial.
Beliau berkata, suspek menawarkan pulangan keuntungan sebanyak 10 peratus bagi setiap jualan pakaian dan aksesori wanita dengan mangsa yang terdesak untuk mencari wang tambahan bersetuju sebelum diarah mendaftar di sebuah aplikasi sebagai penjual.
"Mangsa telah menerima beberapa pesanan daripada pelanggan di aplikasi berkenaan, namun dia diminta membuat bayaran yuran proses terlebih dahulu dan wang berkenaan akan dikembalikan semula berserta pulangan keuntungan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Azli berkata, mangsa telah membuat pembayaran berjumlah RM77,889 ke enam akaun berbeza secara berperingkat bermula 16 Oktober hingga 26 November lepas menggunakan wang simpanan dan pinjaman daripada kenalan serta saudara-mara.
Beliau berkata, lelaki itu menyedari ditipu setelah tidak menerima pulangan keuntungan yang dijanjikan dan mangsa membuat laporan pada 4.10 petang Isnin dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama
Ringkasan AI
- Seorang pembantu kedai makan di Kuala Terengganu kerugian RM77,889 akibat penipuan pekerjaan sambilan dalam talian
- Lelaki tersebut diperkenalkan pekerjaan itu melalui WhatsApp oleh kenalan laman sosial
- Penipuan melibatkan jualan pakaian dan aksesori wanita dengan janji pulangan keuntungan 10%
- Mangsa diarah mendaftar di aplikasi dan membuat bayaran yuran proses terlebih dahulu
- Mangsa menyedari ditipu setelah tidak menerima pulangan keuntungan dan membuat laporan polis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
