Lepas ini tiada lagi kedai fizikal

MERAK Jalanan pun tidak pasti berapa lama lagi kedai-kedai fizikal mampu bertahan untuk jualan tertentu terutama produk berkaitan pakaian dan fesyen. Malahan terdapat juga jualan aksesori kenderaan lebih mudah berurusan dalam talian daripada mengunjungi kedai fizikal.
Pembelian dalam talian juga mudah, malahan service after sale pun membantu pembeli kerana ia terikat dengan standard operasi (SOP) yang disediakan penyedia platform.
Jadi penjual terikat dengan syarat yang amat ketat dan semestinya ia akan memberikan kelebihan kepada pelanggan. Bukan itu saja, SOP boleh mengembalikan semula wang juga menjadi tarikan kepada pengguna.
Merak Jalanan percaya ini tarikan baharu membeli-belah. Masyarakat boleh membeli-belah pada bila-bila masa dan di mana sahaja dan yang pastinya anda akan terima barang yang ditempah sampai ke rumah.
Melihat perkembangan yang semakin maju ini, tidak mustahil nanti kedai-kedai fizikal akan terancam, sudahlah kadar sewa tinggi, kadang-kala tidak masuk akal. Lebih baik tutup saja.
Malahan pemilik atau pengeluar juga boleh menyediakan jurujual tanpa membayar gaji tetap secara bulanan, sebaliknya hanya bersifat komisen dengan menggunakan kaedah afilasi iaitu ‘jual baru dapat komisen’.
Mekanisme baharu ini juga tidak memerlukan peniaga membuka lebih banyak cawangan perniagaan sebaliknya hanya perlu merekrut jurujual afilasi atas talian sahaja, ia amat menjimatkan kos pengurusan kepada entiti perniagaan.
Tidak lama, mungkin dalam 10 tahun nanti, trend perniagaan baharu akan berubah. Usahawan hanya perlu membuka gudang-gudang setempat atau pusat tumpuan sahaja bukan lagi cawangan untuk berniaga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
