Jurugambar jalanan di KLCC, Pintasan Saloma digempur DBKL

Salah seorang jurugambar jalanan cuba memberikan pelbagai alasan ketika ditahan untuk pemeriksaan oleh anggota penguat kuasa DBKL.
Salah seorang jurugambar jalanan cuba memberikan pelbagai alasan ketika ditahan untuk pemeriksaan oleh anggota penguat kuasa DBKL.
A
A
A

KUALA LUMPUR – [KEMAS KINI] Kegiatan jurugambar jalanan yang sibuk menawarkan khidmat kepada pelancong sekitar KLCC dan Pintasan Saloma di sini terbantut apabila lokasi tumpuan yang dipercayai menjadi lubuk pendapatan harian mereka diserbu penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Jumaat.

Operasi bermula kira-kira jam 8.30 malam itu mengejutkan jurugambar terbabit yang didapati beroperasi secara tidak sah di kawasan berkenaan.

Pelbagai cubaan dilakukan beberapa individu bagi mengelakkan diri daripada ditahan, termasuk ada yang menyamar sebagai pelancong serta bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa.

Turut dikesan, terdapat individu yang menyembunyikan peralatan mengambil gambar di celah pokok-pokok hiasan di bahu jalan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Angggota penguatkuasa DBKL mengesan terdapat peralatan mengambil gambar yang disembunyikan jurugambar jalanan di celah pokok hiasan sekitar lokasi operasi dijalankan.
Angggota penguatkuasa DBKL mengesan terdapat peralatan mengambil gambar yang disembunyikan jurugambar jalanan di celah pokok hiasan sekitar lokasi operasi dijalankan.

Mereka dipercayai mampu mengaut keuntungan mencecah ratusan ringgit sehari, selain memperoleh pendapatan lebih tinggi pada malam minggu apabila kawasan itu dipenuhi pengunjung.

Dalam operasi sama, seorang jurugambar cuba menafikan masih menjalankan kegiatan tersebut ketika operasi dijalankan.

Bagaimanapun, helahnya tidak berjaya selepas tindakannya lebih awal dirakam oleh anggota penguat kuasa sebelum dia ditahan.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian yang mengikuti operasi itu mendapati jurugambar jalanan ini tidak bergerak secara berkumpulan, sebaliknya beroperasi secara individu sebelum mendekati pelancong untuk menawarkan perkhidmatan.

Harga yang dikenakan pula sekitar RM5 bagi pengunjung tempatan, manakala RM10 untuk pelancong asing.

Rata-rata pengunjung yang ditemui mengakui tidak selesa dengan kehadiran jurugambar jalanan itu.

Pelbagai helah dan taktik digunakan untuk mengelak dikenakan tindakan oleh pihak DBKL.
Pelbagai helah dan taktik digunakan untuk mengelak dikenakan tindakan oleh pihak DBKL.

Ada yang menyifatkan ia mencacatkan imej KLCC sebagai mercu ikonik negara serta berpendapat tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan secara konsisten bagi mengekang kegiatan yang semakin berleluasa, terutama pada hujung minggu.

Sementara itu, DBKL memaklumkan seramai 23 individu dikenakan kompaun menerusi operasi yang dijalankan serentak di dua lokasi itu.

Jelas DBKL, operasi yang turut melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu membabitkan kompaun yang dikeluarkan di kawasan pekarangan Suria KLCC dan Pintasan Saloma.

Menurut DBKL, kesemua individu terbabit dikenakan tindakan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1), UUK Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan 2016.

Ringkasan AI

  • Jurugambar jalanan diserbu DBKL kerana beroperasi secara tidak sah di KLCC dan Pintasan Saloma
  • Beberapa jurugambar mencuba mengelak ditangkap termasuk menyamar sebagai pelancong
  • Mereka mampu mengaut keuntungan ratusan ringgit sehari terutama pada hujung minggu
  • Seorang jurugambar cuba menafikan aktiviti tetapi ditangkap selepas aksi sebelumnya dirakam DBKL
  • Seramai 22 individu dikenakan kompaun dalam operasi yang turut melibatkan PDRM

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!