Slot tidak pasti masa depan Salah di Liverpool

PENGENDALI Liverpool, Arne Slot mengakui dia 'tiada petunjuk' sama ada Mohamed Salah akan kembali menyarung jersi The Reds selepas bintang Mesir itu disisihkan daripada skuad bagi aksi Liga Juara-Juara menentang Inter Milan.
Salah ditinggalkan di England bagi aksi pagi Rabu (waktu Malaysia) di San Siro susulan kritikan luar biasa yang dilemparkannya terhadap Slot, selepas hanya memanaskan bangku simpanan buat kali ketiga berturut-turut ketika Liverpool seri 3-3 menentang Leeds United.
Pemain berusia 33 tahun itu mendakwa dirinya seolah-olah "dianiaya" oleh kelab dan menegaskan hubungannya dengan Slot sudah terputus sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa dia mungkin angkat kaki pada jendela perpindahan Januari ini walaupun baru menandatangani kontrak baharu pada April lalu.
Apabila ditanya sama ada Salah, yang telah meledak 250 gol untuk Liverpool sejak berpindah dari Roma pada 2017 sudah bermain perlawanan terakhirnya untuk kelab itu, Slot menjawab ringkas: "Saya tiada petunjuk."
"Saya tidak boleh menjawab soalan itu pada masa ini.
"Dia (Salah) mempunyai hak untuk merasakan apa yang dia rasa, tetapi dia tidak mempunyai hak untuk berkongsi perkara itu dengan pihak media," katanya.
Salah, yang langsung tidak dimasukkan sebagai pemain gantian di Elland Road, dijadualkan berlepas ke Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) selepas perlawanan menentang Brighton di tempat sendiri minggu depan.
Komen "panas" Salah itu hadir di tengah-tengah prestasi suram beliau dan kelab musim ini.
Liverpool kini hanya mencatatkan empat kemenangan dalam 15 perlawanan bagi semua pertandingan dan menduduki tangga ke-13 dalam carta Liga Juara-Juara, selain baru sahaja diaibkan 4-1 oleh PSV Eindhoven di Anfield.
Walaupun Salah memainkan peranan watak penting dalam kejayaan Liverpool menjulang dua gelaran Liga Perdana Inggeris dan satu Liga Juara-Juara, beliau kini dilihat bergelut mendapatkan rentak.
The Reds kini terperosok di tangga kesembilan liga domestik, manakala Salah hanya menjaringkan empat gol dalam 13 penampilan liga.
Kali terakhir Salah memulakan perlawanan adalah ketika menentang PSV pada 26 November dan dia gagal menjaringkan gol sejak perlawanan menentang Aston Villa awal November lalu.
Ringkasan AI
- Arne Slot mengakui tiada kepastian sama ada alah akan terus bermain untuk Liverpool selepas dikritik
- Salah ditinggalkan di England untuk perlawanan menentang Inter Milan setelah mengkritik Slot
- Salah menyatakan dirinya dianiaya oleh kelab dan hubungannya dengan Slot terputus
- Prestasi Liverpool dan Salah menurun, dengan Liverpool hanya mencatat empat kemenangan dalam 15 perlawanan
- Salah tidak dimasukkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan terakhir dan dijadualkan berlepas ke AFCON selepas perlawanan menentang Brighton
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
