[VIDEO] Anjakan digital PMKS

A
A
A

[DIKEMAS KINI] DALAM landskap industri Malaysia yang bergerak pantas ke arah automasi, pendigitalan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI), jurang teknologi terus menjadi penghalang utama kepada kemajuan negara.

Menurut Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp), sebanyak 77 peratus perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) masih berada pada tahap pendigitalan asas, sekali gus menjelaskan mengapa sebahagian besar industri tempatan masih bergelut mencapai kecekapan dan produktiviti setanding negara jiran.

Di tengah-tengah cabaran ini, Siemens Malaysia, sebuah syarikat teknologi terkemuka yang menawarkan produk, penyelesaian menyeluruh serta teknologi baharu tampil dengan usaha lebih proaktif untuk mempercepatkan transformasi digital industri Malaysia bermula daripada kilang kecil sehingga ke pusat data gergasi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tindaro Danze berkata, isu pendigitalan PMKS bukan hanya berkait kepada teknologi atau kesediaan infrastruktur tetapi lebih kepada keberanian memulakan langkah pertama sebelum memasuki fasa seterusnya.

Sehubungan itu, Siemens bekerjasama dengan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) semasa Techsphere Summit pada 11 November lalu bagi mempercepat penerimaan teknologi digital dalam kalangan PMKS seluruh negara.

“FMM ialah salah satu persatuan pengeluar terbesar di Malaysia yang mewakili majoriti pengeluar tempatan dan Siemens juga merupakan ahlinya. Fokus kami bukan sekadar syarikat multinasional malah turut merangkumi PMKS dan pengeluar mesin kecil.

“Kami melihat peluang kerjasama yang saling melengkapi di mana Siemens menyediakan teknologi untuk meningkatkan kematangan digital pengeluar tempatan manakala FMM membuka akses kepada rangkaian mereka,” katanya.

Tambahnya, Siemens dan FMM menyasarkan usaha bersama untuk meningkatkan kematangan digital PMKS melalui penilaian, latihan jurutera dan kesedaran teknologi di kalangan pengeluar tempatan.

“Kami mahu membantu syarikat menilai tahap kematangan digital mereka, menyediakan latihan standard untuk jurutera dan meningkatkan kesedaran tentang teknologi yang tersedia supaya PMKS tempatan dapat bersaing dengan lebih berkesan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

‘Mereka tidak tahu dari mana mahu mula’

Tindaro yang merupakan Ketua Digital Industries berkata, cabaran terbesar PMKS dalam pendigitalan ialah mereka sering tidak tahu dari mana mahu bermula.

“Syarikat besar lazimnya sudah mempunyai pelan pendigitalan namun lebih 95 peratus syarikat di Malaysia ialah PMKS yang lebih berhati-hati terhadap kos dan pulangan. Siemens membantu mengurangkan kebimbangan itu dengan pendekatan langkah demi langkah.

“Pengeluar mesin kecil biasanya lebih berhati-hati terhadap pelaburan dan pulangan tetapi apabila pendigitalan dijelaskan dalam langkah kecil yang mudah diurus, mereka sedar ia boleh dimulakan secara sederhana dan berkembang mengikut keperluan,” katanya.

Tindaro berkongsi harapan jangka panjang Siemens Malaysia untuk mempercepatkan pendigitalan dan kelestarian negara termasuk memperluas penggunaan teknologi pintar ke sektor di luar pembuatan.

“Kami berharap lebih banyak PMKS beralih kepada teknologi digital kerana potensinya masih belum dimanfaatkan sepenuhnya. Dalam lima tahun akan datang, sasaran kami ialah majoriti daripada 97 peratus PMKS menggunakan sekurang-kurangnya satu atau dua penyelesaian digital.

“Pada masa sama, kami mahu meluaskan penggunaan teknologi Siemens ke sektor lain seperti pertanian yang mana teknologi industri boleh mengoptimumkan hasil dalam persekitaran terkawal seperti rumah hijau,” katanya.

Berkongsi pengalamannya, Tindaro yang telah menerajui Siemens Malaysia hampir tiga tahun berkata, beliau menyaksikan sendiri bagaimana landskap perindustrian negara berubah mengikut gelombang pelaburan global.

Antara teknologi semikonduktor yang menjadi nadi kepada ekosistem pembuatan berteknologi tinggi di Malaysia. - Siemens Copyrighted Image
Antara teknologi semikonduktor yang menjadi nadi kepada ekosistem pembuatan berteknologi tinggi di Malaysia. - Siemens Copyrighted Image

Ketika beliau tiba, tumpuan besar tertumpu kepada sektor pelaburan dalam semikonduktor dan pasukan Siemens turut menghala ke arah yang sama kerana permintaan besar dalam automasi pembuatan komponen elektronik.

“Pada peringkat awal, tumpuan kami di Malaysia adalah dari segi infrastruktur seperti bangunan, rel, tenaga dan pelabuhan. Hari ini, fokus semakin berkembang kepada automasi dan pendigitalan tapak pembuatan.

“Tidak banyak syarikat yang merangkumi keseluruhan spektrum dan keupayaan kami mengiringi Malaysia sepanjang perjalanan tersebut merupakan tanda kehadiran Siemens di negara ini,” kata beliau.

Keunikan

Mengulas tentang keunikan Siemens, Tindaro menegaskan bahawa kelebihan terbesar syarikat itu ialah keluasan portfolionya yang mana mereka menumpukan perhatian kepada pembangunan infrastruktur penting negara sejak awal penubuhan di Malaysia.

Tindaro berkongsi aspirasi lima tahun Siemens Malaysia untuk mempercepatkan pendigitalan PMKS serta memperluas teknologi industri negara. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Tindaro berkongsi aspirasi lima tahun Siemens Malaysia untuk mempercepatkan pendigitalan PMKS serta memperluas teknologi industri negara. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB

“Kami mengutamakan pembangunan infrastruktur pintar bagi bangunan, grid tenaga dan sistem tenaga teragih, kilang yang lebih cekap dari segi penggunaan sumber, rantaian bekalan tahan lasak serta pendigitalan dalam industri proses dan pembuatan.

“Dengan teknologi berasaskan nilai sebenar, Siemens menyokong pelanggan memodenkan industri dan pasaran mereka melalui penggabungan dunia nyata dan digital sekali gus memberi impak positif kepada kehidupan harian rakyat Malaysia,” ujarnya.

Fokus baharu

Tindaro berkongsi, Siemens Malaysia kini menumpukan perhatian kepada pusat data, sektor air, utiliti, pembuatan dan pengeluaran termasuk loji semikonduktor, makanan dan minuman serta fasiliti farmaseutikal.

Antara pusat data Siemens yang menjadi fokus utama transformasi digital. - Siemens Copyrighted Image
Antara pusat data Siemens yang menjadi fokus utama transformasi digital. - Siemens Copyrighted Image

Pada masa sama, syarikat memperkukuh interaksi pelanggan melalui pembukaan pejabat baharu dan Siemens Xcelerator Experience Center (SXEC) di MET Corporate Towers, Kuala Lumpur pada 2025.

“Fokus utama kami pada masa ini adalah pusat data kerana ia menerima aliran pelaburan yang besar manakala sektor air berkait rapat dengan keperluan elektrik pusat data.

“Pembukaan SXEC pula membolehkan pelanggan meneroka dan berkolaborasi dalam suasana dinamik bersama rakan industri. Ruang ini menampilkan teknologi terkini seperti kembar digital, kecerdasan buatan serta pengkomputeran awan,” jelasnya.

Antara operasi pembuatan berautomasi yang disokong oleh penyelesaian industri Siemens bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti. - Siemens Copyrighted Image
Antara operasi pembuatan berautomasi yang disokong oleh penyelesaian industri Siemens bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti. - Siemens Copyrighted Image

Beliau berkata, melalui SXEC dan sistem Building X, Siemens memperkenalkan teknologi pintar seperti Internet of Things (IoT), analitik data dan kembar digital, membolehkan pengurus bangunan menganalisis serta mengoptimumkan prestasi dan penggunaan sumber dengan lebih berkesan.

“Bangunan yang menggunakan sistem Building X mengumpul data seperti penggunaan elektrik, air, kualiti udara dan kadar penggunaan ruang. Data ini membolehkan pengurus bangunan membuat analisis tepat dan mengoptimumkan operasi secara lebih efisien.

“AI kini menjadi tumpuan utama dalam industri dan peranan Siemens adalah membawanya terus ke operasi pengeluaran. Dengan kembar digital dan sambungan IoT, kami boleh mensimulasikan proses secara maya untuk mencapai ketepatan hampir sempurna sebelum pelaksanaan sebenar,” katanya.

Ringkasan AI

  • Cabaran utama PMKS dalam pendigitalan ialah kekurangan pengetahuan untuk memulakan
  • Siemens menawarkan pendekatan langkah demi langkah untuk memudahkan PMKS dalam pendigitalan
  • Siemens Malaysia menyasar untuk meningkatkan penggunaan teknologi pintar di sektor selain pembuatan
  • Fokus Siemens meliputi pengembangan pusat data, sektor air, pembuatan, dan pelbagai loji industri
  • Pembukaan Siemens Xcelerator Experience Center untuk memperkenalkan teknologi terkini seperti kembar digital dan AI

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!