TNB percepat pemodenan grid, tampung permintaan semasa dan akan datang - Ketua Pegawai Eksekutif

KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Bhd (TNB) meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur grid dan mempercepat pemodenan rangkaiannya bagi mengukuhkan sistem bekalan elektrik Malaysia, meningkatkan integrasi tenaga boleh baharu serta menampung permintaan pada masa depan.
Presiden dan ketua pegawai eksekutifnya Datuk Seri Shamsul Ahmad berkata, perancangan masa depan, pelaksanaan projek yang lebih pantas, serta kerjasama kukuh penting bagi membangunkan grid nasional yang lebih pintar, fleksibel, dan berdaya tahan.
"TNB membuat pelaburan lebih awal daripada permintaan, sambil mengimbangi keperluan untuk bekalan elektrik yang mampu dibayar, mampan, dan terjamin,” katanya ketika berucap semasa sesi panel "The Grid of Tomorrow” di Singapore International Energy Week (SIEW) 2026.
Syarikat utiliti elektrik tersebut menyediakan perkhidmatan kepada kira-kira 11 juta pelanggan dan memperuntukkan sekitar RM43 bilion bagi pelaburan rangkaian di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4), yang merangkumi tahun 2025 hingga 2027.
Shamsul berkata, pelaburan tersebut akan menyokong pembangunan infrastruktur kritikal, termasuk National Grid Backbone 500 kilovolt (kV) yang disasarkan siap menjelang 2030, serta Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) Santong berkapasiti 100 megawatt (MW)/400 megawatt-jam (MWh) di Terengganu.
TNB mula membangunkan National Grid Backbone pada Ogos 2026, dengan sistem penghantaran sepanjang kira-kira 500 kilometer yang diwujudkan untuk menghubungkan lokasi strategik di sepanjang pantai timur Semenanjung Malaysia.
Setelah siap kelak ia akan menjadi sistem penghantaran 500kV yang terpanjang di negara ini, sekali gus memperkukuh kapasiti, fleksibiliti, dan kebolehpercayaan grid.
Sementara itu, BESS Santong yang memulakan operasinya pada April 2026, merupakan sistem penyimpanan tenaga bateri yang disambungkan ke grid pertama di Malaysia.
Sistem itu yang terletak di Dungun, Terengganu, mampu membekalkan kuasa sebanyak 100 MW untuk tempoh sehingga empat jam, sekali gus memberikan fleksibiliti tambahan bagi menguruskan bekalan elektrik serta menyokong integrasi sumber tenaga boleh baharu.
Di peringkat serantau, Shamsul berkata momentum Grid Kuasa ASEAN (APG) semakin meningkat disokong oleh inisiatif seperti Projek Integrasi Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP) serta perjanjian perdagangan elektrik dua hala antara Malaysia dan Singapura.
LTMS-PIP, yang bermula pada Jun 2022, merupakan perdagangan elektrik rentas sempadan pelbagai hala pertama yang melibatkan empat negara ASEAN, membolehkan tenaga hidro boleh baharu dari Laos disalurkan ke Singapura melalui Thailand dan Malaysia.
Perluasan seterusnya telah memudahkan perdagangan elektrik yang lebih meluas termasuk bekalan dari Malaysia ke Singapura.
Malaysia dan Singapura juga sedang mengusahakan sambungan elektrik kedua antara Semenanjung dan Singapura, dengan potensi kapasiti sehingga 2,000 MW.
TNB, SP Group dan Singapore Energy Interconnections dari Singapura telah menandatangani perjanjian pembangunan bersama pada Oktober 2025 untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan menyeluruh bagi cadangan sambungan elektrik itu yang disasarkan mula beroperasi menjelang 2030.
Shamsul berkata penyelarasan antara kerajaan, syarikat utiliti dan pengawal selia ASEAN, di samping dasar, rangka kerja kawal selia dan piawaian teknikal yang sejajar, penting untuk mencapai rangkaian elektrik yang saling berkaitan dan berdaya tahan.
Grid Tenaga ASEAN bertujuan untuk menghubungkan sistem elektrik negara-negara anggota bagi memudahkan perdagangan elektrik rentas sempadan, memperkukuh keterjaminan tenaga serantau serta menyokong integrasi tenaga boleh baharu.
Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia, yang dilancarkan pada Julai 2023, menyediakan rangka kerja dasar lebih menyeluruh bagi peralihan tenaga negara, merangkumi enam bidang utama iaitu kecekapan tenaga, tenaga boleh baharu, hidrogen, biotenaga, mobiliti hijau, serta pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon.
SIEW merupakan platform tahunan peringkat tinggi bagi para profesional tenaga, penggubal dasar, dan pengulas untuk membincangkan serta berkongsi amalan terbaik dalam sektor tenaga global.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
