PMKS catat pertumbuhan 5.8 peratus, sumbang RM652.4 bilion kepada ekonomi Malaysia

Ewon (empat dari kiri) dan Ramanan (tiga dari kiri) bersama infografik pada Pengumuman Prestasi PMKS 2024 di SME Corp Platinum Sentral, Kuala Lumpur pada Isnin.
Ewon (empat dari kiri) dan Ramanan (tiga dari kiri) bersama infografik pada Pengumuman Prestasi PMKS 2024 di SME Corp Platinum Sentral, Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.8 peratus dan menyumbang sebanyak RM652.4 bilion kepada ekonomi negara pada tahun 2024.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, jumlah tersebut secara tidak langsung kekal mengatasi prestasi ekonomi negara yang berkembang sekitar 5.1 peratus dan bukan PMKS pada 4.7 peratus dalam tempoh sama.

“Pertumbuhan ini dipacu oleh sektor pembinaan yang mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu 17.3 peratus berbanding 5.8 peratus tahun sebelumnya dan ia merupakan rekod pertumbuhan paling kukuh yang pernah dicapai PMKS dalam sektor pembinaan sepanjang sedekad lalu.

“Hasil perkembangan menggalakkan ini telah meningkatkan sumbangan PMKS kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) keseluruhan kepada 39.5 peratus berbanding 39.3 peratus pada 2023,” katanya dalam sidang akhbar Pengumuman Prestasi PMKS 2024 di sini pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan; Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin; Pengerusi SME Corp Malaysia, Tan Sri Bernard Giluk Dompok dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy.

Dalam pada itu Ewon menjelaskan, industri PMKS negara turut memperkukuh kedudukan dalam pasaran global dengan eksport melonjak 31.3 peratus atau hampir RM50 bilion kepada RM196.8 bilion.

Menurutnya, ia merupakan peningkatan luar biasa berbanding pertumbuhan tiga peratus yang dicatatkan sebelum ini dengan nilai RM149.9 bilion.

Malah beliau memaklumkan, eksport PMKS jauh lebih kukuh berbanding bukan PMKS dan firma besar yang mencatatkan pertumbuhan eksport sekitar 7.2 peratus.

“Momentum luar biasa PMKS berorientasikan eksport dipacu oleh sektor perkhidmatan yang meningkat sekali ganda iaitu daripada RM33.2 bilion kepada RM71.3 bilion pada tahun 2024, disokong terutamanya industri berkaitan pelancongan.

Artikel Berkaitan:

“Perkembangan positif dalam industri pelancongan memberi kesan limpahan yang menggalakkan terhadap eksport PMKS memandangkan lebih separuh daripada PMKS terlibat secara aktif dalam industri berkaitan pelancongan.

“Insentif pengecualian visa 30 hari kepada pelancong dari China dan India juga tidak dinafikan membantu meningkatkan daya saing sektor ini, memberikan ruang pertumbuhan lebih besar kepada PMKS,” jelasnya.

Sementara itu ditanya mengenai unjuran pertumbuhan pada tahun ini, beliau mengakui industri berdepan cabaran dalam prestasi perniagaan susulan situasi semasa.

Malah tekanan geopolitik termasuk timbal balas tarif 19 peratus oleh Amerika Syarikat ke atas Malaysia akan memberi impak secara langsung dan tidak langsung terhadap prestasi perniagaan PMKS yang terlibat dalam aktiviti eksport.

“Potensi PMKS dalam rantaian nilai global juga boleh ditambah baik dengan memanfaatkan sepenuhnya perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang telah ditandatangani Malaysia,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!