Tolonglah wahai bank!

A
A
A

Apabila saya membaca dalam surat khabar dan mendengar pula pengumuman Bank Negara mengarahkan bank untuk memberi moratorium kepada pihak yang terlibat, reaksi pertama saya ialah:

“Huk ala. Tolonglah wahai bank. Anda boleh beri lebih baik daripada itu.”

Bukan tidak bersyukur di atas keperihatian bank, cuma saya merasakan bank mampu memberi lebih baik untuk rakyat yang dilanda krisis ini. Saya bukan hendak bercerita tentang manfaat untuk orang berniaga sahaja tetapi paling penting juga individu yang mungkin akan mengambil moratorium ini.

Hanya yang indah-indah belaka. Bintang dan bulan semuanya kelihatan terang bersinar bagi mereka yang mahu menangguhkan hutang pada masa krisis ini. Cuma yang saya fikir adalah selepas habis tempoh krisis. Contohnya berkenaan accrue interest. Nampaknya akan bertambah ke dalam pinjaman pokok juga. Malah saya juga tertanya-tanya bagaimana dengan ‘faedah atas faedah’ pula. Adakah ia memberi kesan kepada peminjam pada masa akan datang?

Yang paling penting jika dalam tempoh selepas krisis ini, masih ada peminjam yang tidak dapat menjelaskan pinjaman kerana kehilangan pekerjaan atau perniagaan tutup, bagaimana pula? Apakah tindakan bank pada masa itu? Memang untuk jangka pendek nampaknya agak memberi keringanan kepada rakyat jelata yang terlibat. Cuma seperti yang saya cakapkan tadi selepas itu apa yang berlaku jika perancangan kita tidak menjadi seperti sepatutnya.

Adakah bank akan memberi belas ihsan lagi? Atau adakah bank akan melelong aset rakyat jelata? Atau adakah bank akan mufliskan mereka yang tidak mampu?Saya bertanyakan ini kerana berdasarkan pengalaman seorang kawan. Saya pun pernah menulis dalam ruangan ini dulu. Seorang kawan yang membeli rumah sewaktu beliau masih bekerja. Kemudian diberhentikan kerja dan tidak dapat membayar hutang pinjaman. Lantas beliau menggunakan duit KWSP selama setahun untuk membayar hutang pinjaman tersebut. Dengan izin Tuhan dia mendapat kerja baharu. Tetapi gajinya tidaklah seperti gaji dulu-dulu.

Bayaran

Dia masih mampu membayar amaun yang sama seperti sebelumnya. Kemudian dengan izin Tuhan juga bank mengaktifkan klausa mengubah kadar riba. Maka amaun bulanannya bertambah pula. Beliau tidak mampu kerana gajinya tidak mencukupi. Maka beliau mula berunding. Tetapi bank tetap bertegas untuk melelong rumahnya. Akhirnya dia menulis surat kepada Bank Negara. Bank Negara hanya membalas suratnya dengan meminta bank mempertimbangkan pemohonan kawan saya itu.

Tetapi bank berkeras. Kawan saya tidak dapat membuat bayaran bulanan yang setimpal menurut bank. Bayaran telah disekat secara dalam talian dan juga di kaunter. Kerana tidak dapat membayar menyebabkan hutang beliau tertunggak lalu diklasikfikasikan sebagai memungkiri perjanjian. Akhirnya rumah beliau dilelong. Bayangkan tuan puan, setelah semua duit habis membayar hutang termasuk menggunakan KWSP, tiba-tiba bank merampasnya dan lebih sanggup melelong rumahnya. Tidakkah molek kalau bank bertimbang rasa dan bertolak ansur.

Artikel Berkaitan:

Saya berkongsi cerita ini sebagai menunjukkan contoh sahaja. Tidaklah saya membantah akan apa yang ingin diberi. Tetapi saya berpendapat bank boleh memberi sesuatu yang lebih baik daripada ini. Contoh mansuhkan sahaja bayaran selama enam bulan itu termasuk bayaran riba.

Mungkin ada yang kata bank akan rugi. Ah, saya terasa hendak memaki pula kalau ada yang mengatakan bank rugi. Bank untung besar tuan puan. Belum masuk lagi pinjaman syariah yang kadang-kadang berbelit hendak memahaminya daripada pinjaman konvensional. Itupun sudah memberi pulangan besar.

Selain itu gaji Ketua Pegawai Eksekutifnya tuan puan, terbeliak biji mata melihatnya. Itupun hendak kata rugi lagi ke? Tolonglah bank, anda boleh beri yang lebih baik daripada moratorium ini.

* Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel: mrfaisalmuhamad@gmail.com