'Ulat' tawar RM180 hantar penumpang dari KLIA ke Seremban ditahan

SEPANG - Gerak geri mencurigakan seorang individu di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini membongkar khidmat kereta sewa haram yang dijalankannya.
Lelaki tempatan berumur lingkungan 30-an itu dipercayai menawarkan khidmat tersebut kepada dua individu dengan bayaran RM180 ke Seremban, Negeri Sembilan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, kegiatan individu terbabit dikesan menerusi risikan anggotanya sekitar lokasi berkenaan.
"Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan memujuk, merayu selain menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada dua penumpang warganegara Malaysia dari Terminal 1 KLIA ke Seremban, Negeri Sembilan.
"Susulan itu, individu itu ditahan serta kenderaan digunakan iaitu Perodua Aruz telah disita untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, tindakan diambil di bawah Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010).
"Selain itu, mana-mana individu dikesan bersubahat melakukan kegiatan ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) akta yang sama.
"Orang ramai dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di Terminal 1 dan 2 KLIA atau melakukan tempahan menerusi aplikasi e-hailing," katanya.
Ringkasan AI
- Gerak geri mencurigakan seorang individu di KLIA membongkar khidmat kereta sewa haram
- Lelaki itu menawarkan perkhidmatan pengangkutan dengan bayaran RM180 ke Seremban
- Aktiviti haram ini dikesan melalui risikan anggota JPJ Selangor
- Individu tersebut ditahan dan kenderaan Perodua Aruz disita
- Orang ramai dinasihatkan menggunakan perkhidmatan pengangkutan sah melalui kaunter atau aplikasi e-hailing
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

