Jangan baca tajuk terus nak melenting

MERAK Jalanan pelik sangat dengan sikap manusia hari ini. Ramai yang cepat menghukum hanya kerana baca tajuk, belum sempat faham pun isinya.
Baru baca satu perenggan, macam dah tahu keseluruhan isi. Lepas itu boleh buat kesimpulan sendiri. Sepatutnya baca dulu, teliti dan fahami barulah tahu hujung pangkal cerita. Bagi Merak Jalanan, inilah antara penyakit masyarakat kita hari ini. Suka cepat menilai, cepat menghukum dan cepat memberi komen.
Kadang-kadang jari lebih pantas daripada otak! Bila baca tajuk, terus nak melenting. Kemudian marah-marah wartawan, herdik media, kecam editor. Sedangkan yang dibaca pun cuma sekadar ayat pembuka yang belum pun masuk isi.
Inilah budaya ‘scroll laju, marah dulu, komen kasi padu, faham kemudian’. Merak Jalanan nak nasihatkan, kalau nak marah, marahlah selepas habis membaca.
Kalau nak kecam, kecamlah selepas faham konteks. Kalau nak maki, makilah selepas tahu isu. Kalau nak berkongsi, kongsilah selepas tahu apa sebenarnya yang dikongsi. Kesimpulan yang dibuat mestilah berasaskan kepada penelitian dan kajian yang mendalam. Bukan sekadar ikut firasat dan prasangka sahaja.
Masalahnya ramai yang jadi keyboard warrior dengan modal hanya tujuh perkataan pertama pada tajuk. Nak jadi pintar bukan perlu banyak masa, cuma perlu sedikit kesabaran untuk habiskan bacaan.
Jadi, sebelum jari anda gatal nak komen, sebelum nak buat kenyataan pedas yang boleh memalukan keturunan sendiri, tolonglah baca sampai habis. Kalau tak mampu, diam pun satu bentuk kebijaksanaan.
Lebih penting, media sosial bukan sebagai tempat melampiaskan amarah atau dendam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
