Rakan strategik, JIM sedia kerjasama CiJA

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersedia bekerjasama dengan Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) sebagai rakan strategik untuk memperkukuh kefahaman rakyat terhadap dasar dan tindakan penguatkuasaan imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, penubuhan CiJA memberi nilai tambah kepada ekosistem pelaporan isu jenayah dan imigresen dengan menyediakan platform profesional yang tersusun bagi wartawan meja jenayah.
"Kewujudan satu wadah yang menghimpunkan wartawan meja jenayah secara teratur memberi peluang kepada masyarakat memperoleh gambaran yang lebih tepat mengenai isu imigresen yang bersifat kompleks dan sensitif.
"Dalam masa yang sama, JIM dapat berinteraksi dengan media secara lebih tersusun dan mendalam bagi memastikan maklumat yang disampaikan kepada umum adalah jelas, berimbang serta tidak menjejaskan operasi penguatkuasaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, reformasi imigresen bukan sahaja melibatkan penambahbaikan sistem dan teknologi, tetapi juga berkait rapat dengan tahap pemahaman masyarakat terhadap usaha JIM di lapangan.
"Ketelusan, penjelasan yang tepat dan komunikasi yang bertanggungjawab merupakan asas utama dalam membina kepercayaan awam terhadap jabatan.
"JIM melihat CiJA sebagai rakan strategik yang berperanan membantu memperkukuh kefahaman rakyat terhadap dasar serta tindakan penguatkuasaan imigresen," katanya.
Menurutnya, JIM terbuka untuk mengadakan sesi penerangan secara berkala kepada pengamal media berkaitan undang-undang dan dasar imigresen.
"Langkah ini dijalankan selain berkongsi perkembangan penguatkuasaan serta trend semasa, termasuk usaha pendigitalan perkhidmatan.
"Ia bertujuan menyokong penghasilan laporan yang lebih tepat, seimbang dan berasaskan fakta," katanya.
JIM turut merakamkan ucapan tahniah kepada kepimpinan baharu CiJA dan menghargai kesungguhan media dalam mendidik masyarakat mengenai aspek keselamatan serta pematuhan imigresen.
"JIM akan terus bekerjasama dengan rakan media bagi memastikan naratif imigresen yang disampaikan kepada rakyat adalah tepat, mudah difahami dan selari dengan aspirasi Malaysia Madani," katanya.
Ringkasan AI
- Jabatan Imigresen Malaysia bersedia bekerjasama dengan Persatuan Wartawan Jenayah sebagai rakan strategik
- Penubuhan CiJA meningkatkan kualiti pelaporan isu jenayah dan imigresen
- Kerjasama itu memudahkan penyampaian maklumat imigresen yang tepat dan berimbang kepada masyarakat
- Reformasi imigresen meliputi penambahbaikan sistem dan memperkukuh pemahaman masyarakat
- JIM berkomitmen menyokong pembangunan laporan media yang tepat dan berasaskan fakta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

