Rumah terbakar 80 peratus, wanita hamil berjaya selamatkan diri

GEORGE TOWN - Seorang wanita hamil berjaya menyelamatkan diri selepas kediamannya di sebuah kondominium di Jalan Angsana, Bandar Baru Ayer Itam di sini terbakar dalam kejadian pada malam Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.18 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong bergegas ke lokasi.
Menurutnya, wanita berusia 30-an berjaya keluar dari rumah sebelum pasukan penyelamat tiba.
"Ketika anggota bomba tiba mendapati api marak hingga menyebabkan kira-kira 80 peratus bahagian rumah itu terbakar.
"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak menjalankan pemadaman dan api berjaya dikawal dalam tempoh 15 minit kemudian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

John Sagun berkata, mangsa yang juga pemilik rumah berkenaan tidak mengalami kecederaan, namun diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang.
Beliau berkata, operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 9.45 malam sebelum kerja-kerja 'overhaul' dijalankan bagi memastikan tiada risiko lain di lokasi.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.33 malam dan kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut.
Ringkasan AI
- Wanita hamil berjaya menyelamatkan diri daripada kebakaran kondominium di Jalan Angsana, Bandar Baru Ayer Itam
- Panggilan kecemasan diterima 9.18 malam dan anggota bomba dari BBP Paya Terubong bergegas ke lokasi
- Api marak menyebabkan kira-kira 80 peratus rumah terbakar tetapi berjaya dikawal dalam 15 minit
- Mangsa tidak mengalami kecederaan dan diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang
- Operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 9.45 malam dan kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
