Rumah terbakar: Pasangan suami isteri kritikal ditidurkan

SEREMBAN – Pasangan suami isteri yang dilaporkan kritikal selepas mengalami sesak nafas teruk akibat terhidu asap dalam kebakaran rumah mereka di Taman Permai Impian di sini masih menerima rawatan rapi di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini.
Bagaimanapun keadaan Muhammad Hakimi Umaier Ghazali, 35, sudah semakin baik berbanding isterinya, Nur Syafiqah Suboh, 37.
Tiga anak mereka, Muhammad Iman Rizqi, 11, Muhammad Harraz Naufal, 7, dan Muhammad Aisy Mikhail, 3, pula dibenarkan keluar hospital pada Jumaat
Adik mangsa, Muhammad Amir Haziq Suboh, 32, berkata, kakak dan abang iparnya masih ditidurkan di ICU untuk tujuan rawatan lanjut.
"Kedua-duanya masih ditidurkan, tapi keadaan abang makin baik apabila kadar bantuan oksigen dikurangkan, keadaan kakak pula saya difahamkan masih sama.
"Tiga orang anak saudara saya pula sudah dibenarkan keluar dari hospital hari ini dan akan dijaga oleh seorang lagi kakak yang tinggal di Seremban," katanya pada Jumaat.
Sementara itu, seorang jiran yang dikenali sebagai Siti berkata, rumahnya yang bersebelahan dengan rumah mangsa turut terbakar sedikit di bahagian siling hadapan dan meter elektrik.
"Alhamdulillah kejadian kebakaran ini tidak mengorbankan nyawa. Kalau diikutkan rumah jiran kami terbakar agak teruk juga.
"Rumah ini saya beli pada tahun 2000, tapi kakak dan abang ipar yang tinggal di sini dan hari ini saya datang untuk lihat keadaan rumah selepas dimaklumkan mengenai kejadian ini," katanya.
Terdahulu, kejadian yang berlaku awal pagi Khamis menyaksikan rumah pasangan berkenaan musnah 70 peratus, manakala sebuah kereta Proton Saga turut terbakar sehingga 50 peratus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

