Salah faham dipercayai punca rumah terbakar

Kamariah menunjukkan rumahnya terbakar dalam kejadian awal pagi di Kampung Langkap Baru, Setiu pada Ahad.
Kamariah menunjukkan rumahnya terbakar dalam kejadian awal pagi di Kampung Langkap Baru, Setiu pada Ahad.
A
A
A

SETIU - Perselisihan faham antara pasangan suami isteri yang berlarutan sejak bulan lalu dipercayai menjadi punca kediaman mereka terbakar di Kampung Langkap Baru di sini awal pagi Ahad.

Kamariah Mat Daud, 65, berkata, rumahnya itu diketahui terbakar kira-kira jam 1.15 pagi selepas anak bongsunya, Muhammad Hakim Mohd Nawi, 26, mengejutkan dia dan ahli keluarganya yang lain.

"Ketika kejadian saya berada di rumah salah seorang anak di sebelah rumah manakala anak bongsu saya sahaja yang ada di rumah itu.

"Menurut anak bongsu saya, dia ternampak kelibat suami saya cuba melarikan diri selepas ruang tamu rumah terbakar," dakwanya ketika ditemui di Kampung Langkap Baru di sini pada Ahad.

Kamariah berkata, dirinya yang sedang dalam proses pemulihan strok amat terkejut dengan kejadian itu.  

"Walaupun banyak kemusnahan harta benda, mujurlah tiada nyawa terkorban dalam kejadian ini

"Saya menyerahkan sepenuhnya siasatan dan tindakan kepada pihak berkuasa," luahnya.

Sehubungan itu katanya, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sungai Tong di sini jam 4 pagi pada Ahad.

Dalam pada itu, Muhammad Hakim berkata, kejadian disedari sebaik sahaja keluar bilik untuk mengunci pintu utama rumah sebelum melihat api marak di ruang tamu.

Artikel Berkaitan:

"Waktu tu, saya sempat menjerit dan ternampak kelibat ayah tiri cuba melarikan diri dengan menaiki kereta.

"Saya tak sempat kejar dia sebab api sedang marak. Saya segera ketuk pintu rumah abang di sebelah untuk membantu memadamkan kebakaran sebelum pihak bomba tiba," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Mohd Sarizan Mohammad Sapawi berkata, pihaknya berjaya mengawal dan memadamkan sepenuhnya kebakaran itu dalam tempoh kira-kira 30 minit.

"Punca sebenar kebakaran itu masih tidak dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!