Belanjawan Pahang 2026 serba lengkap, realistik - Pemuda UMNO Pahang

KUANTAN - Belanjawan Pahang 2026 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sangat komprehensif, realistik dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Mustaqim Zakaria berkata, isi kandungan belanjawan itu menunjukkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membina Pahang sebagai negeri yang makmur, progresif serta inklusif.
Menurutnya, belanjawan itu memberi impak langsung kepada golongan muda, keluarga B40, warga emas, komuniti Felda, penjawat awam serta institusi pendidikan dan keagamaan.
"Pemuda UMNO Pahang memuji usaha kerajaan memartabatkan syiar Islam melalui peruntukan menaik taraf sekolah agama, pembinaan masjid baharu, peningkatan elaun guru al-Quran serta pengukuhan institusi tahfiz.
"Langkah ini jelas mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk terus berpegang kepada prinsip Maqasid Syariah dalam pembangunan negeri," katanya melalui kenyataan pada Ahad.
Mustaqim yang juga Penyelaras DUN Lepar berkata, tumpuan terhadap pembangunan belia dan mahasiswa melalui program kepimpinan, latihan kemahiran, peluang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bantuan pendidikan serta inisiatif sokongan untuk mahasiswa institusi pengajian tinggi menunjukkan perhatian kerajaan negeri dalam membina generasi muda berdaya saing.
"Begitu juga dengan pelbagai program khas untuk komuniti Felda yang sudah pasti bertujuan agar warga peneroka mendapat akses pembangunan sosial, pendidikan dan perpaduan secara saksama," katanya.
Tambah beliau, keluarga B40 juga terus menerima pelbagai bentuk bantuan, termasuk bantuan makanan, pengurangan yuran sekolah agama, program Jualan Makmur, kad kesihatan, bantuan topi keledar dan inisiatif kebajikan yang lain.
"Belanjawan ini memperlihatkan iltizam kerajaan negeri untuk menjadikan Pahang sebagai negeri maju, inklusif dan berpandangan jauh.
"Secara tidak langsung ia selaras dengan aspirasi 'Pahang 1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan'," katanya.
Ringkasan AI
- Belanjawan Pahang 2026 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dirancang untuk kesejahteraan rakyat
- Isi kandungan belanjawan memfokuskan pada pembinaan Pahang sebagai negeri makmur, progresif dan inklusif
- Belanjawan memberi impak kepada golongan muda, keluarga B40, warga emas, komuniti Felda, penjawat awam dan institusi pendidikan keagamaan
- Usaha memartabatkan syiar Islam melalui peningkatan fasiliti pendidikan agama dan pembinaan masjid baharu disebut
- Tumpuan kepada pembangunan belia dan mahasiswa, serta bantuan khusus kepada keluarga B40 dan komuniti Felda menunjukkan kesungguhan pemerintah negeri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

