Belanjawan Pahang 2026 bukan untuk pilihan raya - Wan Rosdy

KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan Belanjawan Pahang 2026 yang dibentangkan bukanlah belanjawan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU), sebaliknya dibuat demi kesejahteraan rakyat negeri itu.
Beliau berkata, pihak pembangkang boleh membuat sebarang tanggapan, tetapi kerajaan negeri bertindak mengikut kemampuan kerajaan dalam memperuntukkan bantuan dan insentif kepada rakyat.
"Kuasa bubar Parlimen atau DUN (Dewan Undangan Negeri) bukan kuasa saya, jadi mereka boleh anggap apa sajalah. Kita buat bajet untuk rakyat dan kita rasa kita boleh beri.
"Pembangkang itu biasa, kalau boleh mereka tidak hendak apa yang kita buat, tapi kita buat semua ini ikhlas untuk rakyat.
"Dulu pilihan raya jauh pun kita beri juga bantuan khas kewangan dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar selepas pembentangan belanjawan negeri di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang pada Jumaat.
Dato' Sri Diraja berkata, pembangkang biasanya mempertikaikan segala usaha kerajaan.
Jelas beliau, sedangkan setiap tahun kerajaan negeri akan menambah baik belanjawan untuk memastikan tiada rakyat yang tercicir.
"Belanjawan dibuat dengan teliti dan atas nasihat Pegawai Kewangan Negeri serta perbincangan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).
"Dan dalam keadaan teliti itu pun, memang akan ada lagi yang tercicir, namun kita tambah baik setiap tahun. setiap kali buat (belanjawan) " jelasnya.
Sebelum itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menggambarkan pembentangan belanjawan 2026 pada persidangan DUN negeri hari seolah-olah 'belanjawan menuju pilihan raya'.
Menurutnya, walaupun jumlah perbelanjaan mengurus dan pembangunan meningkat hampir 7 peratus, namun ia bukan menyentuh perkara fundamental terhadap pelbagai masalah dihadapi kerajaan negeri.
"(Belanjawan) hari ini seolah-olah satu belanjawan hampir nak pilihan raya. seperti (kerajaan Pahang) berdepan tekanan kepada program yang dilakukan Perikatan Nasional (PN).
"Saya pun fikir mungkin sudah dekat (pilihan raya), tapi bila lihat balik kepada prestasi buruk kerajaan (Perpaduan) dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah, mungkin juga lambat lagi," katanya.
Ringkasan AI
- Menteri Besar Pahang menekankan Belanjawan Pahang 2026 dibuat untuk kesejahteraan rakyat bukan untuk PRU
- Kerajaan negeri bertindak mengikut kemampuan dalam memperuntukkan bantuan dan insentif kepada rakyat
- Pembangkang sering mempertikaikan usaha kerajaan namun belanjawan dibuat ikhlas untuk rakyat
- Belanjawan dirancang dengan teliti, atas nasihat Pegawai Kewangan Negeri, dan dibincang dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan
- Ketua Pembangkang menggambarkan belanjawan seolah-olah menuju pilihan raya namun mendakwa ia tidak menyentuh masalah fundamental negeri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

