Timbalan Mufti Pahang kecewa ceramah generasi ‘strawberi’ terima aduan SISPAA

Tangkap layar video kuliah Dhuha yang terselit perkongsian Dr Badli Shah mengenai aduan SISPAA terhadapnya.
Tangkap layar video kuliah Dhuha yang terselit perkongsian Dr Badli Shah mengenai aduan SISPAA terhadapnya.
A
A
A

KUANTAN – Timbalan Mufti Pahang, Datuk Dr Badli Shah Alauddin kecewa apabila ceramahnya yang menyentuh isu generasi ‘strawberi’ baru-baru ini dilaporkan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Perkara itu didedahkan beliau ketika menyampaikan kuliah Dhuha di Masjid Felda Kampung Sertik, Bentong, 18 Oktober lalu yang dikongsi menerusi rakaman video di saluran YouTube.

Melalui rakaman itu, beliau mendakwa telah diminta memberikan penjelasan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pahang dalam tempoh tiga hari.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa kerana perlu menjawab aduan yang diterima susulan ceramah itu, selain menyatakan tidak lagi berminat mengulas lanjut mengenai isu generasi 'strawberi'.

“Saya tak ada nak cerita hal strawberi, saya jadi menyampah nak cerita. Tuan-tuan tahu, saya kena SISPAA tajuk tu?

“Punyalah teruk masyarakat, saya kena jawab. Saya diberi masa tiga hari oleh pihak SUK untuk jawab, kenapa saya ceramah tajuk tu. Malas ceritalah,” katanya.

Sebelum ini, sedutan ceramah Dr Badli Shah mengenai generasi berkenaan tular di media sosial pada September lalu dan mencetuskan pelbagai reaksi.

Dalam ceramah itu, beliau menegur segelintir golongan muda yang disifatkan kurang berdaya tahan apabila berdepan tekanan, teguran dan cabaran.

Beliau berkongsi pandangan seseorang perlu membina ketahanan diri dalam menghadapi kesukaran hidup dan tidak terlalu mudah berputus asa apabila berdepan cabaran.

Artikel Berkaitan:

Perkongsian terbaharu mengenai aduan SISPAA itu sekali lagi tular sehingga menarik perhatian pengguna media sosial.

Isu generasi ‘strawberi’ dipercayai merujuk kepada sikap golongan muda yang mudah 'koyak' dengan tekanan atau kritikan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!