Belanjawan Negeri Pahang 2026: Pahang sasar kutipan hasil mineral RM150juta menjelang 2026


KUANTAN – Kerajaan Pahang meletakkan sasaran kutipan hasil sebanyak RM150 juta daripada sektor mineral pada tahun 2026.
Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sasaran tersebut akan dicapai menerusi strategi pengurusan sumber mineral yang teratur, telus dan selaras dengan prinsip kelestarian alam sekitar.
“Sumber mineral merupakan antara penyumbang penting kepada hasil negeri,” jelasnya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2026 dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang, di sini pada Jumaat.
Bagi menyokong pembangunan industri mineral, Dato’ Sri Diraja berkata Kerajaan Negeri, melalui Pahang Mining Corporation (PMC), memperuntukkan RM4.5 juta bagi melaksanakan rancangan pembangunan industri mineral.
“Seiring dengan itu, sebanyak RM1.65 juta turut diperuntukkan kepada Projek Pengembangan Industri Mineral yang merangkumi pengurusan sisa lombong, kajian pra-kebolehlaksanaan kaedah pengangkutan mineral baharu serta kajian potensi dan deposit mineral di negeri Pahang.
“Usaha ini penting bagi memastikan sektor mineral terus berkembang tanpa menjejaskan alam sekitar,” jelas beliau lagi.
Dalam persidangan sama, Dato’ Sri Diraja turut memaklumkan bahawa Pahang memiliki 2.06 juta hektar hutan, bersamaan 57.07 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri iaitu 3.59 juta hektar.
Justeru itu, ujar beliau, Kerajaan Negeri sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa hutan bukan sekadar aset ekonomi tetapi merupakan nadi ekologi dan warisan generasi masa depan.
Bagi memperkukuh pemuliharaan hutan dan biodiversiti, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM102.83 juta kepada agensi berkaitan, termasuk Jabatan Perhutanan Negeri, Majlis Biodiversiti Pahang, Perbadanan Taman Negeri dan Unit Penguatkuasaan Negeri.
“Daripada jumlah itu, RM65.08 juta digunakan untuk pengurusan kawasan sensitif, projek restorasi dan inisiatif meningkatkan daya tahan ekosistem.
“Sebanyak RM780,000 pula diperuntukkan bagi projek perlindungan dan pengurusan sumber hutan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

