Belanjawan Negeri Pahang 2026: Perkasa syiar Islam melalui peruntukan RM235.95 juta

KUANTAN – Usaha memperkasa syiar Islam di Pahang dilaksanakan secara menyeluruh menerusi peruntukan RM235.95 juta bagi tahun 2026.
Menteri Besar, Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan RM39.89 juta atau 20.35 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurutnya, peruntukan tersebut merangkumi pendidikan agama, pembangunan masjid serta penyediaan kemudahan ibadah di seluruh negeri.
"Peningkatan ini adalah bukti jelas kerajaan bukan sahaja mengekalkan komitmen memperteguh syiar Islam, tetapi meningkatkannya dengan lebih agresif dan berstrategi, sekali gus menepis dakwaan yang menuduh kerajaan negeri tidak Islam dan sekular.
"Kerajaan negeri tetap memilih jalan istiqamah dengan melangkah tenang dan tertib dalam memastikan syiar Islam terus ditegakkan di bumi bertuah ini tanpa goyah oleh celaan yang tidak membawa apa-apa makna ," katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.
Dato’ Sri Diraja berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM116.58 juta diperuntukkan bagi pengoperasian semua sekolah agama di Pahang manakala RM17.4 juta lagi disediakan untuk pembinaan baharu dan penyelenggaraan sekolah agama.
Sebagai keprihatinan terhadap warga pendidik agama, beliau menambah, bayaran elaun tambahan dinaikkan sebanyak RM100 kepada 350 guru al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) asrama menjadikan jumlah keseluruhan adalah RM1,000 setiap seorang.
Jelasnya, bayaran tambahan elaun sebanyak RM100 juga diberikan kepada setiap guru KAFA seluruh Pahang melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM3.66 juta.
"Kerajaan Negeri Pahang turut bersetuju mengurangkan kadar bayaran persekolahan agama daripada RM490 kepada RM370 dengan penurunan 24.5 peratus.
"Selain itu, bayaran asrama untuk pelajar sekolah menengah agama juga dikurangkan daripada RM670 kepada RM560, melibatkan pengurangan RM110, sekali gus meringankan beban kewangan ibu bapa," katanya pada persidangan tersebut.
Dalam memastikan keselesaan ibadah umat Islam, Dato’s Sri Diraja memberitahu, Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM7.28 juta untuk projek sambungan pembinaan Masjid Al-Fatah Batu 3 dan Masjid Indera Sempurna, Kuantan termasuk kerja-kerja penyelenggaraan yang lain.
"Sebanyak RM5.65 juta disediakan bagi pembinaan baharu kompleks Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan di Indera Mahkota dan penyelenggaraan bangunan Jabatan Agama Islam Pahang bagi mempertingkat kualiti penyampaian perkhidmatan agama di Pahang," katanya.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan penubuhan Sekolah Rendah Agama Islam Negeri Pahang di Cameron Highlands.
"Kelulusan itu melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM3.23 juta yang melibatkan pembayaran emolumen pegawai dan kakitangan serta pengubahsuaian bangunan," katanya.
Ringkasan AI
- Usaha memperkasa syiar Islam di Pahang dengan peruntukan RM235.95 juta bagi tahun 2026
- Peruntukan menunjukkan peningkatan RM39.89 juta atau 20.35 peratus berbanding tahun sebelumnya
- Peruntukan merangkumi pendidikan agama, pembangunan masjid, dan penyediaan kemudahan ibadah di seluruh negeri
- RM116.58 juta diperuntukkan bagi pengoperasian semua sekolah agama di Pahang manakala RM17.4 juta lagi untuk pembinaan dan penyelenggaraan sekolah agama
- Kadar bayaran persekolahan agama dikurangkan daripada RM490 kepada RM370 dan bayaran asrama untuk pelajar sekolah menengah agama dikurangkan daripada RM670 kepada RM560
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

