Belanjawan Pahang 2026: Ribuan belia bakal nikmati manfaat inisiatif baharu

KUANTAN – Kerajaan Pahang menyuntik pelbagai inisiatif bagi memperkasa pembangunan belia menerusi Belanjawan Negeri 2026, yang dijangka memberi manfaat kepada ribuan golongan muda di seluruh negeri.
Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, suntikan itu meliputi aspek kepimpinan, kemahiran, kesukarelawanan, sukan dan penglibatan komuniti, bagi memastikan belia terus berdaya saing, berwibawa serta mampu memimpin negeri ke arah masa depan yang lebih gemilang.
“Belia adalah tenaga penggerak serta pewaris masa depan negeri ini. Justeru, bagi tahun 2026, Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai program strategik dengan peruntukan khusus bagi memastikan belia Pahang terus berdaya saing, berwibawa dan mampu memimpin negeri ke hadapan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2026 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini, pada Jumaat.
Dato’ Sri Diraja memaklumkan bahawa di bawah inisiatif Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP), pelbagai program anak muda seperti Moh Santai Orang Muda, Fun Run and Ride, Kelab Motor Tok Wan Pahang 1st, serta Karnival Sukan MTSP Piala Menteri Besar akan dilaksanakan dengan peruntukan berjumlah RM700,000.
“Kerajaan turut memperuntukkan RM150,000 bagi Retreat Pemimpin Muda Pahang 2026 untuk membina kepimpinan generasi baharu yang responsif dan inovatif manakala RM330,000 disediakan untuk Youth Volunteer@Community Pahang sebagai platform pelaksanaan projek komuniti dan penyediaan kemudahan asas oleh belia,” jelasnya.
Dato’ Sri Diraja turut berkata, Majlis Belia Negeri Pahang akan menerima peruntukan sebanyak RM1 juta sebagai geran pengurusan bagi memastikan kelangsungan operasi dan program tahunan.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga menyediakan RM475,000 untuk Youth Empowerment Society, bagi persiapan pembangunan kepimpinan belia dari peringkat daerah hingga negeri.
“Peruntukan sebanyak RM300,000 disediakan bagi Program Pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3, bertujuan melahirkan pelapis belia yang profesional dan bertauliah.
“Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang turut menerima peruntukan sebanyak RM1.04 juta bagi melaksanakan program seperti Festival Belia Pahang, Anugerah Perdana Belia Negara dan Program Sukarelawan Anak Muda In Action,” katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan Pahang melancarkan Belanjawan Negeri 2026 untuk memperkasa pembangunan belia
- Belanjawan itu meliputi aspek kepimpinan, kemahiran, kesukarelawanan, sukan dan penglibatan komuniti
- Pelbagai program anak muda akan dilaksanakan dengan peruntukan RM700,000 di bawah Majlis Tindakan Sosial Pahang
- Peruntukan sebanyak RM1 juta diberikan kepada Majlis Belia Negeri Pahang untuk geran pengurusan
- Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang menerima RM1.04 juta untuk program pembangunan belia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

