Ekosistem halal Selangor amal prinsip, amalan al-Quran - Amirudin

KUALA LUMPUR - Usaha Selangor membangunkan tadbir urus halal menjadi antara contoh jelas pelaksanaan nilai al-Quran dalam sistem pentadbiran negeri.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ekosistem halal negeri itu paling aktif di Malaysia apabila banyak syarikat diperakui beroperasi mengikut prinsip kejelasan, akauntabiliti dan integriti.
Malah sejak lebih 50 tahun lalu menurutnya, pelbagai program dirangka termasuk sokongan kepada usahawan kecil, peluasan akses pembiayaan serta latihan bagi membantu rakyat membina kehidupan stabil dan bermaruah.
"Dalam banyak usaha yang dijalankan, tadbir urus halal menjadi antara contoh ketara bagaimana nilai al-Quran diterjemahkan kepada dasar dan sistem.

"Selama lebih setengah abad, Selangor berusaha menginstitusikan penyeliaan halal sebagai amanah bersama antara kerajaan, industri dan komuniti," katanya ketika berucap merasmikan World #QuranConvention 2025 di Dewan Perdana, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, halal bukan satu-satunya manifestasi ekonomi Quranik tetapi contoh yang nyata.
Malah ujarnya, misi lebih besar ialah memastikan setiap dasar, program dan kerjasama yang dilaksanakan mencerminkan keadilan, ihsan dan amanah seperti dituntut al-Quran.
Ahli Dewan Undanan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu turut berkongsi ayat 17 Surah Al-Balad yang menjadi panduan sejak beliau memegang jawatan Menteri Besar pada 2018, khususnya mengenai kesabaran dan belas kasihan dalam kepimpinan.
“Bagi saya, ayat ini menjadi peringatan bahawa kepimpinan bukan tentang memilih jalan mudah tetapi jalan lebih sukar iaitu kesabaran, integriti dan tanggungjawab bersama.

"Ia adalah jalan yang mana kekuatan mesti seimbang dengan belas kasihan dan dasar berpaksikan keprihatinan,” katanya.
Sementara itu mengulas tema konvensyen berasaskan Surah Al-Saff, Amirudin menjelaskan ia menekankan disiplin, kesatuan dan integriti.
“Apabila kedua-dua surah ini digabungkan, ia memberi gambaran lengkap membentuk hati dan perwatakan, manakala satu lagi membentuk struktur, disiplin dan strategi ummah," jelasnya.
Ringkasan AI
- Usaha Selangor membangunkan tadbir urus halal menjadi contoh pelaksanaan nilai al-Quran dalam pentadbiran negeri
- Selangor memiliki ekosistem halal paling aktif di Malaysia dengan syarikat diperakui beroperasi berlandaskan prinsip kejelasan, akauntabiliti dan integriti
- Selama lebih 50 tahun, Selangor menyokong usahawan kecil, meluas akses pembiayaan, dan memberikan latihan kepada rakyat
- Tadbir urus halal di Selangor dilihat sebagai manifestasi ekonomi Quranik dan mencerminkan nilai keadilan, ihsan dan amanah al-Quran
- ADUN Sungai Tua, menggunakan ayat 17 Surah Al-Balad sebagai panduan kepimpinan berkaitan kesabaran dan belas kasihan sejak memegang jawatan Menteri Besar pada 2018
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

