PKPD: Penduduk panik, terputus bekalan makanan

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (depan) meninjau kawasan Kampung Dato’ Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Kluang, Johor hari ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula malam tadi hingga 9 April ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (depan) meninjau kawasan Kampung Dato’ Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Kluang, Johor hari ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula malam tadi hingga 9 April ini.
A
A
A

KLUANG - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid, Simpang Renggam di sini yang bermula malam tadi hingga 9 April ini menjadikan kawasan itu lengang dan sunyi sepi seolah-olah tidak berpenghuni.

Aktiviti 3,570 penduduk melibatkan 650 keluarga di kedua-dua kawasan itu terhenti serta merta dan keadaan seakan-akan berada dalam zon perang atau gempa bumi apabila anggota polis, tentera dan pasukan keselamatan lain berada di mana-mana.

Ketua Kampung Dato’ Ibrahim Majid, Sarlan Yasmin, 64, berkata, hampir majoriti penduduk di kedua-dua kawasan berkenaan kini sudah terputus bekalan makanan dan mereka hanya menantikan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Kami sudah kehabisan barang makanan dan barang keperluan harian disebabkan tidak dapat keluar rumah, kini hanya menanti bantuan kerajaan menerusi JKM.

"Keadaan PKPD ini membuatkan penduduk panik, terkejut dan bingung kerana belum pernah terjadi situasi seperti ini. Namun keadaan masih terkawal dan semua memberikan kerjasama yang baik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sarlan berkata, ketika ini pihaknya menyampaikan sebarang bentuk informasi termasuk bantuan menerusi kumpulan WhatsApp, Twitter, Wechat dan platform media sosial lain supaya penduduk mengetahui perkembangan semasa termasuk arahan yang mereka perlu patuhi.

Katanya, terdapat kira-kira 60 kes positif koronavirus (Covid-19) di kampungnya dan empat penduduk sudah meninggal dunia akibat wabak berkenaan yang rata-ratanya warga emas.

Menurutnya, tidak ramai jemaah tabligh di kedua-dua kawasan tersebut dan difahamkan hanya dua di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan seorang lagi Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid yang mengikuti Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling, Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Kemungkinan wabak Covid-19 ini merebak semasa seorang penduduk mengadakan kenduri kahwin anaknya pada 15 Mac lalu yang melibatkan kehadiran antara 400 hingga 500 tetamu," dakwanya.

Beliau juga kini memangku jawatan Ketua Kampung Parit Hassan bersebelahan kampungnya sejak semalam kerana ketua kampung tersebut, Ithnin Sedali, 70, disahkan positif Covid-19 dan kini dirawat di hospital.