Inkues Zara Qairina bersambung tahun depan, Koroner ingatkan jangan dahului inkues

KOTA KINABALU – Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan sekali lagi mengingatkan orang awam supaya tidak mendahului prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir yang kini dihentikan sementara sehingga disambung semula pada Januari tahun hadapan.
Dalam prosiding inkues terakhir bagi tahun ini yang berlangsung pada Jumaat, beliau menegaskan tiga perkara penting termasuk peringatan agar orang awam mengelakkan sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh dianggap menghina mahkamah.
“Untuk pengetahuan umum, inkues masih berjalan. Mohon untuk tidak membuat sebarang spekulasi, jangan mendahului proses. Lebih baik berkata-kata yang baik atau lebih baik berdiam diri. Elakkan perkara yang boleh dianggap menghina mahkamah atau subjudis kerana inkues ini tiada gag order, kecuali bagi saksi kanak-kanak.
“Prosiding menghina mahkamah... kalau boleh, jangan prosiding ini dipenuhi dengan prosiding menghina mahkamah. Dua individu yang terlibat pun sudah cukup dan akan dibicarakan pada 18 Disember ini,” katanya sebelum menamatkan prosiding tersebut.
Beliau turut menasihatkan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat relevan supaya menyalurkannya kepada pihak berkuasa dan tidak menyebarkannya di media sosial.
Sementara itu, peguam Shahlan Jufri memaklumkan dalam satu sidang akhbar bahawa prosiding perbicaraan di Mahkamah Kanak-Kanak akan berlangsung minggu hadapan, bermula Isnin sehingga 19 Disember.
“Kami akan hadir sebagai peguam pemerhati. Prosiding inkues pula akan disambung semula dari 21 Januari hingga 13 Februari depan, dimulakan dengan dua guru iaitu pengetua dan Ketua Warden yang akan dipanggil semula, manakala ibu Zara juga akan memberi keterangan. Inkues kemudian akan diteruskan semula dengan saksi-saksi kanak-kanak,” katanya.
Sebelum itu, Shahlan Jufri bersama barisan peguamnya, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James hadir mewakili ibu kepada arwah, Noraidah Lamat.
Allahyarhamah Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth (HQEI).
Ringkasan AI
- KOTA KINABALU - Hakim Koroner mengingatkan orang awam supaya tidak mendahului prosiding inkues kematian Zara Qairina
- Inkues masih berjalan dan tiada gag order kecuali bagi saksi kanak-kanak
- Orang awam disarankan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dan bukan di media sosial
- Prosiding perbicaraan di Mahkamah Kanak-Kanak akan berlangsung minggu hadapan
- Inkues akan disambung semula dari 21 Januari dengan dua guru dan ibu Zara sebagai saksi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
