Inkues Zara Qairina: Pihak sekolah biarkan ibu Zara 'terumbang-ambing’- Guru disiplin

KOTA KINABALU - Guru disiplin yang juga saksi dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir bersetuju bahawa tindakan pihak sekolah tidak memberikan sebarang maklumat kepada ibu pelajar tersebut boleh menyebabkan wanita itu bertambah emosi susulan kejadian yang menimpa anaknya, yang ditemui di aras bawah bangunan asrama pada 16 Julai lalu.
Nur Shukriah Mohd Fauzi yang juga saksi ke-53 inkues, bersetuju dengan pandangan itu ketika ditanya oleh peguam Farrah Nasser yang mewakili ibu Zara Qairina.
Dalam prosiding, Farrah bertanyakan saksi mengenai kenyataannya sebelum ini bahawa beliau bimbang emosi ibu Zara Qairina akan terganggu.
Peguam itu turut menyoal, sekiranya saksi berada dalam situasi yang sama sebagai seorang ibu, adakah beliau tidak mahu mengetahui keadaan sebenar sejak awal dan bukannya menunggu hasil siasatan polis sedangkan pihak sekolah sudah mengetahui maklumat tersebut.
Menurut saksi sebelum ini, beliau mengetahui bahawa pelajar terlibat membuat perjumpaan pada malam kejadian dan menyatakan bahawa siasatan dalaman sekolah hanya memberikan gambaran awal mengenai apa yang berlaku.
Peguam kemudian mengemukakan pandangannya kepada saksi, bahawa sebagai seorang ibu yang telah kehilangan satu-satunya anak dan yang tidak mengetahui langsung apa yang berlaku kepada anaknya, sedangkan anak itu berada di kawasan sekolah lebih lama daripada berada di rumah, adalah menjadi hak ibu Zara Qairina untuk dimaklumkan oleh pihak sekolah mengenai kejadian sebenar.
Saksi turut bersetuju dengan pandangan peguam bahawa tindakan pihak sekolah yang tidak memaklumkan perkara tersebut menyebabkan ibu Zara Qairina terus 'terumbang-ambing' sehingga hari ini, dan hanya mengetahui perkembangan kes melalui media sosial, sedangkan pihak sekolah sepatutnya bertanggungjawab memberikan maklumat itu kepadanya.
Sebelum itu, Farrah bersama rakan sepasukannya, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi dan Elhanan Jame hadir sebagai pihak berkepentingan dalam inkues ini bagi mewakili Noraidah Lamat.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya.
Ringkasan AI
- Guru disiplin bersetuju tindakan sekolah tidak memberikan maklumat kepada ibu pelajar menyebabkan wanita itu bertambah emosi
- Saksi bimbang emosi ibu pelajar terganggu
- Saksi menyatakan siasatan dalaman sekolah hanya memberikan gambaran awal kejadian
- Disarankan hak ibu pelajar untuk dimaklumkan kejadian sebenar oleh sekolah
- Zara Qairina ditemui di bawah bangunan asrama dan meninggal esok harinya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
