Inkues Zara Qairina: Bapa beremosi semasa doktor cabut bantuan pernafasan

Allahyarham Zara Qairina
Allahyarham Zara Qairina
A
A
A

KOTA KINABALU - [KEMAS KINI] Saksi ke-53 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa bapa pelajar tersebut kelihatan beremosi ketika meminta anaknya bangun semasa berada di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Nur Shukriah Mohd Fauzi, yang juga Guru Disiplin di sekolah Allahyarhamah, berkata demikian ketika diminta merujuk kepada penyataan saksinya sebelum ini yang menyebut bahawa semasa di hospital, ibu pelajar itu tidak berada di wad ketika seorang doktor meminta izin mencabut bantuan pernafasan.

Peguam yang mewakili bapa Zara Qairina, Clarice Vyonne Conrad, kemudian bertanyakan kepada saksi sama ada beliau mendengar bapa pelajar itu berkata apa-apa.

"Ketika itu ayahnya nampak sangat emosilah. Seingat saya masa kami sampai, ayahnya berada di hujung dinding, penjuru dinding bilik itu.

"Tapi bila doktor cakap nak cabut oksigen, ayahnya datang ke tepi katil itu macam ada emosi sikit macam berkata, Zara bangun Zara macam itulah lebih kurang," katanya semasa memberikan keterangannya di sini pada Khamis.

Ditanya sama ada ibu Zara Qairina ada berkata apa-apa pada ketika itu, saksi merujuk kembali kepada penyataan yang ditulisnya sebelum ini bahawa wanita berkenaan reda dengan pemergian anaknya.

"Macam saya tulis dalam inilah, mama reda, Zara nak pergi, Zara anak manja mama, Zara anak yang baik," katanya.

Sebelum itu, saksi turut diminta pendapatnya sebagai seorang guru disiplin sejak 2021, adakah dalam kalangan pelajar tersebut membuat kesalahan disiplin pada malam 15 Julai lalu sebelum Zara Qairina ditemui di aras bawah asrama.

"Kami dapat kenal pasti tiga kesalahan yang dilakukan oleh pelajar-pelajar ini, yang pertama membuat siasatan tanpa izin warden, yang kedua membuat perjumpaan tapa izin warden dan yang ketika mengeluarkan kata-kata cacian," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya lanjut dalam tiga kesalahan yang dikesan tersebut, adakah salah satunya iaitu mengeluarkan kata-kata cacian, adakah ia boleh dikategorikan sebagai buli.

"Seperti mana yang saya cakap semalam (Rabu), yang saya tahu ada dua orang yang melakukan dan mengeluarkan kata-kata cacian ini dan secara peribadi tidak tahu pelajar yang mana satu yang memberi kesan kepada Arwah Zara," katanya.

Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan peguam yang merujuk dengan eksibit di mahkamah, bahawa buli adalah perbuatan oleh seorang atau beberapa orang yang menggunakan kekuatan atau kekerasan untuk menakutkan, mengganggu, menghina atau menyakitkan orang lain melalui pelbagai kaedah sama ada secara fizikal, mental atau emosi yang mengakibatkan kecederaan fizikal atau gangguan emosi kepada mangsa.

Sebelum itu, Clarice Vyonne bersama rakan sepasukannya, Sherzali Asli dan Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip mewakili Mahathir Hashim sebagai pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.

Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di HQE pada keesokan harinya.

Ringkasan AI

  • KOTA KINABALU - Saksi ke-53 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir melaporkan bapa pelajar itu beremosi di Hospital Queen Elizabeth
  • Semasa di hospital, ibu pelajar tidak berada di wad ketika doktor minta izin mencabut bantuan pernafasan
  • Peguam yang mewakili bapa Zara bertanyakan saksi mengenai apa yang bapa pelajar itu katakan
  • Ayah Zara terlihat sangat emosi dan berkata, "Zara bangun Zara" ketika doktor menyatakan akan mencabut bantuan oksigen
  • Ibu Zara reda dengan pemergian anaknya, menyifatkan Zara sebagai anak yang manja dan baik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!