[VIDEO] Benteng pecah: Penduduk kembali ke PTS tidak sampai seminggu

BATU PAHAT – Tidak sampai seminggu selepas pulang ke rumah, penduduk Kampung Sungai Berong Laut, di sini terpaksa kembali ke Pusat Transit Sementara (PTS) selepas kediaman mereka dinaiki air akibat fenomena air pasang besar.
Situasi banjir bertambah buruk apabila benteng penahan ombak yang sedang dalam proses baik pulih pecah pada minggu lalu.
Seorang penduduk, Norsidah Abu, 52, berkata, lebih 25 penduduk daripada sembilan keluarga terpaksa berulang-alik selama empat hari ke PTS yang ditempatkan di sebuah surau, sebelum ia ditutup pada Ahad lalu.
Namun begitu, suri rumah itu tidak menyangka kejadian limpahan air berlaku sekali lagi secara mendadak pada petang Khamis menyebabkan mereka terpaksa berpindah semula ke PTS.
“Belum habis penat cuci rumah akibat banjir air pasang minggu lalu, kejadian serupa berlaku lagi dengan paras air agak tinggi, kira-kira 0.5 meter.
“Kenaikan air berlaku secara mendadak apabila hujan sejak tengah hari semalam, sebelum rumah kami dinaiki air sekitar jam 5 petang,” katanya ketika ditemui di rumahnya pada Jumaat.

Norsidah berkata, dia turut membina tembok di hadapan pintu sebagai alternatif untuk menghalang air banjir daripada memasuki rumah.
“Sejak benteng pecah lapan bulan lalu, keluarga kami terpaksa berpindah ke PTS setiap kali air pasang mencecah 2.5 meter ke atas.
“Setiap petang, kami bergerak sejauh satu kilometer ke PTS untuk bermalam, dan keesokan harinya pulang ke rumah untuk membersihkannya daripada lumpur. Jika air pasang kecil, kami tetap tinggal di rumah,” ujarnya.
Sementara itu, Salehudin Ahmad, 56, berkata, dia menghabiskan antara empat hingga lima jam setiap hari membersihkan rumah selepas air surut.
“Kerja ini bukan mudah, apatah lagi setiap kali air pasang, rumah terpaksa dibersihkan semula.
“Tanaman penduduk seperti pokok pisang turut musnah akibat air masin,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, keadaan banjir semakin buruk pada Khamis sehingga memaksa PTS di Kampung Sungai Berong Laut dibuka semula.
“Hari ini keadaan semakin teruk kerana boleh dikatakan banyak rumah yang dinaiki air termasuk di Lorong Samsudin.
“Saya sendiri tidak dapat sampai ke kawasan benteng yang pecah itu, namun saya yakin kerosakan benteng tersebut semakin membesar,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau turut menasihati penduduk agar sentiasa memantau paras air dan mengikuti arahan pihak berkuasa demi keselamatan masing-masing.
Ringkasan AI
- Penduduk Kampung Sungai Berong Laut, Batu Pahat terpaksa kembali ke pusat transit sementara selepas rumah mereka dinaiki air ketika fenomena air pasang besar
- Situasi banjir bertambah buruk apabila benteng penahan ombak yang sedang dibaik pulih pecah
- Lebih 25 penduduk daripada sembilan keluarga berulang alik ke pusat transit sementara selama empat hari
- Benteng yang pecah lapan bulan lalu menyebabkan keluarga terpaksa berpindah ke pusat transit setiap kali air pasang setinggi 2.5 meter ke atas
- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyatakan kedaan banjir yang semakin teruk menyebabkan pusat transit sementara dibuka semula
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

