Konflik enam tahun WCE, penduduk Kampung Jawa akhirnya selesai

KLANG - Konflik antara penduduk Kampung Jawa dan projek Seksyen 3 Lebuhraya Pantai Barat (WCE) di sini yang berlarutan hampir enam tahun akhirnya berakhir apabila kerja-kerja perobohan kediaman dilakukan dalam keadaan aman pada Selasa.
Tinjauan Sinar Harian mendapati sebanyak 19 rumah di kawasan seluas 0.73 hektar itu mula dirobohkan seawal jam 8 pagi.
Penduduk, P Hamand, 53, berkata, meskipun sebak apabila rumah didiami terpaksa dirobohkan, namun beliau tetap akur dengan keputusan mahkamah.
“Tiada bantahan sebab saya sudah tahu suka atau tidak rumah ini mesti dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek WCE,” katanya ketika ditemui pada Selasa.
Bagaimanapun, Hamand berkata, penduduk tetap berharap kerajaan memberikan kadar pampasan mencukupi bagi memulakan hidup baharu.
“Jika kerajaan negeri masih bertegas dengan pampasan RM200,000, saya akui memang tak cukup.
“Rumah sekarang kalau hendak beli pun lebih RM500,000 dan ini memberi tekanan kepada kami,” katanya.
Hamand berkata, keluarganya yang menetap di kawasan itu sejak tahun 1960 kini terpaksa menyewa selepas rumah yang dihuni bersama ayah, isteri dan enam adik-beradik lain dirobohkan.
Menurutnya, pampasan tanah yang diterima turut menimbulkan tanda tanya apabila kadar ditawarkan tidak sepadan dengan nilai tanah di kawasan berdekatan.
“Saya difahamkan kawasan berhampiran sekolah berharga RM120 satu kaki persegi, kami cuma dapat RM55 saja dengan alasan tanah kami kategori pertanian,” jelas beliau.
Lebih perit, Hamand turut kerugian apabila kandang lembu serta bekalan air dan elektrik dipotong sekali gus menjejaskan sumber pendapatan utamanya.
“Saya ada lebih 20 ekor lembu dengan sehari boleh dapat 200 liter susu, tapi bila kandang kena pindah mendadak, memang beri kesan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, M Wani, 48, berkata, meskipun memahami keperluan pembangunan, beliau merayu pihak berkuasa mempertimbangkan pampasan lebih adil bagi memastikan penduduk tidak terpinggir.
Menurut Wani, kediamannya dihuni tiga keluarga sejak kecil dan mereka tidak pernah menyewa sebelum ini.
“Kami terbeban sebab terpaksa sewa RM1,200 sebulan untuk rumah dua bilik sahaja, memaksa kami tidur bersesak-sesak,” jelasnya.
Wani turut merayu kerajaan negeri mempercepatkan penyediaan rumah sementara atau bantuan yang dijanjikan.
“Kami minta kerajaan negeri sediakan rumah sementara dengan segera sebab kami hilang tempat berteduh,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George berkata, walaupun penduduk menghormati keputusan mahkamah, masalah timbul apabila mereka tidak mempunyai rumah sementara untuk didiami.
“Sebelum ini, penduduk masih berharap keputusan mahkamah memihak kepada mereka, namun keputusan tidak memihak dan mereka baru minggu lalu memohon rumah Smart Sewa yang disediakan kerajaan negeri.
“Permohonan sedang diproses dan saya sudah minta kerajaan negeri percepatkan kelulusan sebab majoriti mereka adalah warga emas dan keluarga B40 yang tiada tempat bergantung harap,” katanya.
Beliau berkata, kawasan rumah penduduk juga melalui proses penandaan semula (pegging) untuk memastikan hanya struktur yang melibatkan laluan projek dirobohkan.
“Saya turun sendiri kenal pasti rumah-rumah ini kerana ada yang hanya pagar atau dapur sahaja terlibat.
“Saya minta supaya robohkan hanya bahagian yang perlu supaya mereka masih boleh guna rumah sementara menunggu penyelesaian,” katanya.
Menurutnya, daripada dua hektar tanah asal, hanya 0.8 hektar digunakan untuk projek lebuh raya, manakala bakinya akan dipulangkan semula kepada 19 pemilik tanah selepas kerja pembinaan selesai.
“Soalnya bagaimana mereka akan urus baki tiga ekar (1.2 hektar) ini nanti, sama ada hendak bina rumah sendiri atau perlu dijual atau pecahkan lot.
“Semua ini keputusan tuan tanah, namun yang pasti, mereka telah menerima pampasan atas dua ekar (0.8 hektar) yang diambil,” katanya.
Bagaimanapun, tegas beliau, penduduk tidak pernah menghalang projek pembangunan WCE untuk kemudahan pengguna jalan raya pada masa depan.
“Penduduk bukan menolak pembinaan lebuh raya, mereka cuma berjuang untuk pampasan setimpal dan mempertahankan rumah yang telah mereka duduki sejak 60 hingga 70 tahun,” tambahnya.
Menurutnya, 19 rumah yang dirobohkan pada Selasa adalah sebahagian daripada proses akhir penyediaan tapak untuk pembinaan WCE yang dijangka disegerakan dalam masa terdekat.
“Penduduk sudah reda dan akur dengan keputusan mahkamah, tugas saya sekarang ialah memastikan kerajaan negeri membantu mereka sebaik mungkin,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan secara terperinci mengenai situasi melibatkan jajaran 150 meter yang menjadi punca utama projek WCE yang kini lebih 90 peratus siap tetapi masih tergendala.
Konflik melibatkan kawasan dan sebilangan kecil penduduk enggan mematuhi arahan turut menyebabkan kerja-kerja pembinaan di Seksyen 3 WCE tergendala lebih 20 bulan dan menjejaskan keseluruhan projek lebuh raya yang diumum pada 2012 dengan jangkaan kos RM7.07 bilion.
Ringkasan AI
- Konflik antara penduduk Kampung Jawa dengan projek WCE di Klang yang berlarutan enam tahun berakhir dengan perobohan 19 rumah secara aman
- Penduduk harap kerajaan memberi pampasan mencukupi untuk hidup baru setelah akur dengan keputusan mahkamah
- Penduduk mengalami tekanan finansial akibat pampasan tidak mencukupi untuk membeli rumah baru dan kerugian sumber pendapatan seperti ternakan lembu
- Sebahagian dari tanah yang digunakan untuk projek akan dikembalikan kepada pemilik selepas pembinaan selesai, namun isu pampasan masih menjadi tumpuan
- Walaupun menghormati keputusan mahkamah, penduduk dan ADUN setempat berharap kerajaan negeri membantu menyediakan rumah sementara dan mempercepat pengolahan permohonan rumah Smart Sewa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

