Calon SPM maut, rakan parah tak sempat elak lori

KULIM – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut manakala rakannya parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori pengadun konkrit di Jalan Lunas-Bandar Permata di sini pada petang Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda 100 disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan, manakala pemboncengnya dikejarkan ke hospital dalam keadaan cedera.
Kedua-dua mangsa berusia 17 tahun dan merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Serai.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang dinaiki mangsa bergerak dari arah Pekan Lunas menuju ke Taman Lagenda.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah lori pengadun konkrit yang dipandu lelaki berusia 36 tahun dari arah sama dipercayai sedang membelok ke simpang kiri untuk ke tapak pembinaan di Pekan Lunas.
“Motosikal mangsa yang berada terlalu hampir di belakang lori gagal mengelak lalu terperosok ke bahagian tayar belakang sebelah kiri kenderaan berat itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ringkasan AI
- Seorang calon SPM maut dan rakannya parah dalam kemalangan dengan lori pengadun konkrit di Kulim
- Kemalangan berlaku kira-kira jam 4.15 petang di Jalan Lunas-Bandar Permata
- Kedua-dua mangsa berusia 17 tahun dan merupakan pelajar SMK Padang Serai
- Lori pengadun konkrit dikatakan sedang membelok ke kiri semasa motosikal gagal mengelak dan terperosok ke bahagian tayar belakang
- Pemandu lori tidak cedera dan ditahan untuk membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

