Tumpat, Pasir Puteh diramal banjir pada Sabtu dan Ahad ini - PRABN

KOTA BHARU - Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran mengeluarkan 'Amaran Banjir' di Tumpat dan Pasir Puteh, terutama di kawasan rendah serta berisiko banjir bermula Sabtu hingga Ahad ini.
PRABN dalam kenyataan hari ini memaklumkan berdasarkan status paras air sungai yang diramal meningkat dan melebihi paras bahaya, banjir berkemungkinan berlaku di dua jajahan berkenaan.
"Antara kawasan berisiko di jajahan Tumpat ialah di Lembangan Sungai Golok (Sungai Golok) dan Lembangan Sungai Kelantan (Sungai Kelantan). Turut dijangka terjejas ialah di jajahan Pasir Puteh melibatkan Lembangan Sungai Semerak (Sungai Semerak)," menurut kenyataan PRABN.
Sehubungan itu, PRABN dalam kenyataan itu menasihatkan semua penduduk di kawasan terbabit agar berwaspada, mengikuti arahan agensi pengurusan bencana dan mendapatkan maklumat lanjut melalui laman sesawang PublicInfoBanjir serta Facebook @PublicInfoBanjir.
Semalam Jabatan Meteorologi meramalkan Susulan Amaran Hujan Berterusan (Waspada), kemungkinan banjir akan berlaku bagi kawasan dalam lembangan sungai terutama di kawasan rendah dan berisiko banjir di Kelantan. - Bernama
Ringkasan AI
- Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara mengeluarkan Amaran Banjir di Tumpat dan Pasir Puteh
- Banjir berkemungkinan berlaku bermula Sabtu hingga Ahad ini
- Kawasan berisiko termasuk Lembangan Sungai Golok dan Sungai Kelantan di Tumpat serta Lembangan Sungai Semerak di Pasir Puteh
- Penduduk di kawasan terbabit dinasihatkan berwaspada dan mengikuti arahan agensi pengurusan bencana
- Jabatan Meteorologi meramalkan kemungkinan banjir akibat Susulan Amaran Hujan Berterusan di Kelantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
