'PKS boleh tangguh bayaran ansuran cukai pendapatan tiga bulan'

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dibenarkan untuk menangguhkan pembayaran ansuran cukai pendapatan bagi tempoh tiga bulan mulai 1 April ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, langkah tersebut diambil untuk membantu nasib kira-kira 750,000 PKS yang tertekan dengan masalah aliran tunai akibat pandemik Covid-19.

“Ini adalah tambahan kepada langkah yang diumumkan terdahulu iaitu kerajaan memberi penangguhan bayaran ansuran cukai kepada perniagaan yang terjejas dalam sektor pelancongan selama enam bulan bermula 1 April 2020.

“Bagi sektor lain yang turut terkesan, mereka dibenarkan untuk meminda jumlah cukai 16 pendapatan yang dikenakan pada bulan ketiga, keenam dan kesembilan ansuran dalam tempoh asas perniagaan,” katanya semasa mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) di sini hari ini.

Menurutnya, untuk memudahkan aliran tunai PKS, kerajaan menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan program Khidmat Rundingan Majikan pada 15 April 2020.

Beliau berkata, perkhidmatan itu merangkumi pilihan penangguhan bayaran, penstrukturan dan penjadualan semula sumbangan majikan.

“Langkah ini dijangka memberikan penjimatan aliran tunai kepada majikan yang dianggarkan berjumlah RM10 bilion.

“Inisiatif ini akan memanfaatkan lebih 480,000 PKS dan syarikat yang terjejas di samping menyelamatkan lebih lapan juta pekerjaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, bayaran levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia bagi semua sektor akan dikecualikan untuk tempoh enam bulan mulai April 2020 bagi membantu aliran tunai syarikat dengan penjimatan keseluruhan bernilai RM440 juta.

Muhyiddin berkata, kerajaan bersetuju untuk hanya mengenakan cukai ke atas pendapatan pihak bank dari faedah atau keuntungan ke atas pinjaman atau pembiayaan yang terlibat dengan penangguhan bayaran balik pinjaman atau pembiayaan itu apabila pendapatan tersebut diterima selepas tempoh moratorium.

Ini susulan daripada kesanggupan institusi perbankan untuk menawarkan penangguhan atau moratorium bayaran pinjaman selama enam bulan, penukaran baki kad kredit kepada pinjaman berjangka dan penstrukturan semula pinjaman korporat.

“Langkah ini penting untuk membolehkan syarikat terus berkemampuan mengekalkan pekerjaan dan segera meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing.

“Inisiatif ini melibatkan jumlah keseluruhan sekurang-kurangnya RM100 bilion. Saya pasti anda yang meminjam dengan bank untuk membeli kereta, rumah dan lain-lain boleh menarik nafas lega sedikit dengan inisiatif ini,” katanya.

Menurutnya, langkah moratorium akan dipanjangkan dan dilaksanakan bagi pinjaman dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun), Majlis Amanah Rakyat dan koperasi serta mana-mana agensi kerajaan yang memberi pinjaman kepada PKS mulai 1 April 2020. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga PKS makin sukar bertahan!