KIR miskin tegar berkurang lebih 6,000 dalam tempoh 5 bulan

Hanifah Hajar
Hanifah Hajar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bilangan ketua isi rumah (KIR) miskin tegar berdaftar berkurang sebanyak 6,527 iaitu daripada 124,744 kepada 118,217 dalam tempoh 15 Disember 2022 sehingga 15 Mei 2023.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, dalam tempoh yang sama bagi KIR miskin berdaftar pula berkurang daripada 304,911 kepada 299,080 iaitu sebanyak 5,831.

Menurut beliau, ia adalah berdasarkan data dinamik e-Kasih seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Di samping itu, situasi pasaran buruh negara bertambah baik sejak negara memasuki fasa peralihan ke endemik. Kadar pengangguran bagi Mac 2023 telah menurun kepada 3.5 peratus berbanding 5.3 peratus pada Mei 2020.

“Pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada tahun 2022 telah membantu menyokong pemulihan dalam pasaran buruh,” katanya di Dewan Rakyat semasa sesi pertanyaan jawab lisan pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan oleh Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang ingin mengetahui kemajuan yang telah dicapai oleh kerajaan untuk mengurangkan kadar kemiskinan dan menghapuskan kemiskinan tegar sejak enam bulan lalu.

Tambah beliau, kerajaan juga sedang melaksanakan pelbagai intervensi untuk menstruktur ekonomi negara dengan keperluan ekonomi rakyat berhubung menangani kemiskinan.

Jelasnya, sebahagian daripada langkah membantu golongan miskin yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2023 antaranya Sumbangan Tunai Rahmah kepada hampir sembilan juta penerima dengan peruntukan disediakan hampir RM8 bilion.

“Kedua, bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada golongan yang mudah terjejas termasuk kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya.

“Ketiga, bantuan pelbagai subsidi kepada pesawah dan pekebun kecil. Keempat, Projek pembaikan luar bandar dan program-program membasmi kemiskinan dan Kelima, Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih dan Pakej Perpaduan Jalur Lebar,” katanya.

Selain itu, katanya, RM750 juta telah disediakan untuk Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang menumpukan kepada pengupayaan golongan B40 bagi meningkatkan potensi pendapatan secara mampan.

“Sehingga 22 Mei 2023, sejumlah 82,892 peserta telah berdaftar,” ujarnya.