Lelaki didakwa lakukan amang seksual mangsa banjir di PPS ada rekod kes rogol

KOTA BHARU - Seorang penggangur yang masih dibicarakan berkait kesalahan rogol, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja perempuan ketika berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) semasa banjir.
Tertuduh, Nik Mohammad Ilfam Mohammad Noor, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terbaharu itu dibacakan di hadapan Hakim, Tengku Shahrizan Tuan Lah.
Mengikut pertuduhan, Nik Mohammad Ilfam didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 16 tahun di sebuah PPS di Jelawat, Bachok pada jam 11 pagi, 26 November lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.
Sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara maksimum dua puluh tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding berkenaan, Siti Hajar tidak menawarkan jaminan terhadap Nik Mohammad Ilfam kerana dakwaan serius yang dihadapi.
“Tertuduh juga dituduh atas kesalahan rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan pada tahun lepas.
“Dia dalam tempoh jaminan mahkamah dan kes rogol tersebut masih dalam perbicaraan,” katanya.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Kes ditetapkan pada 8 Disember ini bagi sebutan semula dan lantikan peguam.
Ringkasan AI
- Seorang penggangur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal
- Tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Tengku Shahrizan Tuan Lah
- Nik Mohammad Ilfam didakwa mengamang remaja perempuan 16 tahun di pusat pemindahan sementara semasa banjir
- Pendakwaan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017
- Tidak dibenarkan jamin kerana tertuduh juga dalam perbicaraan atas tuduhan rogol
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

