Jumlah mangsa banjir di PPS tujuh negeri berkurang, Kelantan meningkat

Penduduk dilihat pulang ke rumah bagi mendapatkan barangan peribadi untuk kegunaan di PPS di Taman Desa Setia, Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu. - Foto Bernama
Penduduk dilihat pulang ke rumah bagi mendapatkan barangan peribadi untuk kegunaan di PPS di Taman Desa Setia, Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Situasi banjir di tujuh negeri bertambah baik apabila jumlah mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan setakat 8 malam Sabtu, kecuali di Kelantan meningkat sedikit.

Di Terengganu, jumlah mangsa menurun kepada 6,521 orang daripada 1,962 keluarga berbanding 8,345 orang daripada 2,490 keluarga pada sebelah petang.

InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan, Kuala Terengganu merekodkan jumlah mangsa paling tinggi di PPS iaitu 1,594 orang, diikuti Marang (1,242), Kuala Nerus (1,106), Kemaman (1,055), Setiu (830), Dungun (509) dan Hulu Terengganu (185).

Di Perlis, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 4,635 orang dengan tiga lagi PPS ditutup berbanding 5,246 orang petang Sabtu.

Berdasarkan data Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis, 18 PPS masih beroperasi di Padang Besar, Arau dan Kangar. 

Di Selangor, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 3,473 orang melibatkan 989 keluarga malam Sabtu, berbanding 4,458 individu daripada 1,224 keluarga petang Sabtu.

Menurut laman web Infobencana JKM, 33 PPS masih beroperasi di lima daerah membabitkan Kuala Selangor, Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Klang.

Di Negeri Sembilan, InfoBencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 251 orang membabitkan 99 keluarga, berbanding 310 orang daripada 113 keluarga terdahulu.

Di Kedah, masih terdapat 1,817 orang daripada 533 keluarga berlindung di 11 PPS malam Sabtu, berbanding 3,295 orang daripada 1,020 keluarga dengan kesemua mangsa dari Kubang Pasu dan Kota Setar.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, laman rasmi Publicinfo Banjir memaklumkan, Sungai Bata telah melepasi tahap bahaya iaitu 10.637 meter (m) manakala Sungai Anak Bukit (2.45m) dan Sungai Baru (1.86m) melepasi tahap amaran.

Di Melaka, jumlah mangsa terus berkurangan kepada 62 orang daripada 17 keluarga, berbanding 111 mangsa daripada 27 keluarga yang kesemuanya ditempatkan di PPS Dewan Japerun Ayer Limau, SK Ayer Jernih dan Balai Raya Kampung Seri Jeram. 

Di Pahang, jumlah mangsa banjir setakat ini mencatatkan 1,272 orang daripada 428 keluarga, berbanding 1,855 orang daripada 594 keluarga, sebelah petang. 

Selain itu, lima sungai utama melepasi bacaan paras bahaya iaitu Sungai Pahang di Kuala Tembeling, Jerantut (53.87m); Sungai Pahang di Waterfront (F1), Bera ( 28.89m); Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut (61.33m); Sungai Jelai di Jeram Bungor, Lipis (62.28m) dan Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh (41.51m).

Di Perak, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 6,375 orang daripada 1,973 keluarga, berbanding 6,440 orang daripada 2,006 keluarga yang ditempatkan di 43 PPS di enam daerah.

Sekretariat JPBN Perak memaklumkan, dua PPS telah ditutup petang Sabtu dan daerah Manjung masih kekal dengan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,240 orang yang berlindung di 18 PPS.

Sementara itu, di Kelantan, mangsa banjir meningkat sedikit kepada 1,974 orang berbanding 1,906 orang dengan lapan PPS dibuka di tiga jajahan terjejas iaitu Pasir Mas, Tumpat dan Gua Musang.

Selain itu, paras air beberapa sungai utama menunjukkan trend menaik, termasuk Sungai Pergau di Jeli (98.21 m) dan Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang (59.56 m) manakala Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada paras 9.83 m melepasi tanda bahaya. - Bernama

Ringkasan AI

  • Situasi banjir di tujuh negeri bertambah baik dengan pengurangan jumlah mangsa di PPS
  • Jumlah mangsa banjir di Terengganu menurun kepada 6,521 orang
  • Kuala Terengganu mencatat jumlah mangsa paling tinggi di Terengganu
  • Jumlah mangsa banjir di Perlis berkurangan kepada 4,635 orang
  • Sebanyak 18 PPS masih beroperasi di Padang Besar, Arau dan Kangar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!