[VIDEO] Isu tanah: Ahmad Zahid bentang hasil mesyuarat Felda, FGV kepada Kabinet

A
A
A

PUTRAJAYA - [KEMAS KINI] Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membentangkan hasil mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda dan FGV Holding Berhad dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat.

Menurutnya, entiti berkenaan sedang bermesyuarat pada Khamis bagi mencari jalan penyelesaian ke atas kemelut isu tanah di Terengganu.

"Sekarang ini mereka sedang bermesyuarat dan saya akan bentangkan hasilnya dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok," katanya ketika ditemui pemberita sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini pada Khamis.

Menurutnya, kerajaan mahu langkah segera dirangka bagi menamatkan kebuntuan isu tanah itu tanpa menjejaskan kepentingan peneroka serta operasi syarikat berkaitan.

Ditanya penetapan tarikh pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, beliau berkata ia bakal diadakan dalam masa terdekat.

"Tarikh masih belum dimuktamadkan tetapi perbincangan akan dibuat secepat mungkin," jelas beliau.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan mahu penyelesaian dicapai melalui rundingan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, selain dibincangkan dalam platform seperti Majlis Tanah Negara serta persidangan Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

“Saya tidak nampak ada masalah sebenarnya kerana kita selesaikan isu seperti ini di peringkat majlis dan bukan melalui tindakan undang-undang,” ujarnya.

Beliau menambah, pendekatan sama akan mengelakkan isu berkenaan berulang di negeri lain selain memastikan penyertaan kerajaan negeri kekal selaras dengan dasar pembangunan tanah serta kepentingan peneroka.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Kerajaan Terengganu memulakan tindakan penguatkuasaan terhadap FGV dengan mengeluarkan 127 notis larangan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran melibatkan 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) dikeluarkan pada Ahad dan Isnin itu merupakan langkah awal tindakan perundangan selepas rundingan berhubung isu pembayaran hasil negeri gagal mencapai persetujuan.

Sebanyak 10 ladang yang terlibat merangkumi di Setiu, Marang, Dungun dan Kemaman itu bukan tanah rancangan Felda, sebaliknya merupakan tanah kerajaan negeri yang sepatutnya diurus berdasarkan perjanjian dan syarat asal.

Difahamkan sepanjang lebih 40 tahun beroperasi, beberapa komitmen termasuk bayaran premium tanah, cukai tanah serta perkongsian keuntungan 30 peratus masih tidak diselesaikan dengan anggaran tunggakan mencecah RM600 juta.

 

 

Ringkasan AI

  • Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membentangkan hasil mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda dan FGV Holding Berhad dalam mesyuarat Kabinet esok
  • Entiti berkenaan sedang bermesyuarat hari ini untuk mencari jalan penyelesaian isu tanah di Terengganu
  • Hasil mesyuarat akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok
  • Zahid bertindak sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah
  • Mesyuarat diadakan di Putrajaya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!