Ahmad Zahid bincang notis amaran ladang Felda, FGV dengan MB Terengganu

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berhubung isu notis amaran yang dikeluarkan kerajaan negeri ke atas lot ladang milik Felda dan FGV Holdings Berhad (FGV).

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata isu berkenaan wajar dibincangkan memandangkan Felda berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, sekali gus menjadi bidang tanggungjawabnya untuk menangani sebarang permasalahan yang dihadapi agensi itu.

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan Yang Berhormat Menteri Besar Terengganu mengenai perkara itu. Tidak ada isu yang tidak boleh diselesaikan. Yang penting ialah kepentingan mereka, yang juga rakyat Terengganu, dan rakyat negara kita,” katanya kepada media selepas merasmikan Cyberjaya Conversations Summit 2025 di sini pada Rabu. 

Dalam pada itu, Felda dan FGV semalam memaklumkan dalam kenyataan bersama bahawa mereka sedang menjalankan proses semakan menyeluruh ke atas semua dokumen berkaitan bagi menyelesaikan isu notis amaran yang dikeluarkan Kerajaan Terengganu ke atas lot ladang milik agensi itu dan anak syarikatnya.

Felda dan FGV menjelaskan proses semakan itu merangkumi sejarah, rekod pembayaran, bayaran premium tanah, status hak milik serta syarat-syarat pembangunan ladang.

Langkah berkenaan susulan notis amaran pendudukan secara tidak sah atau kesalahan menceroboh yang dikeluarkan ke atas ladang-ladang Felda dan FGV di daerah Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman pada 30 November, 1 Dissember dan 2 Disember.

Felda dan FGV menegaskan notis-notis amaran itu tidak menjejaskan operasi ladang peneroka dan komuniti peneroka di Wilayah Terengganu, yang boleh meneruskan aktiviti sara hidup seperti biasa. - Bernama 

 

 

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

Ringkasan AI

  • Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan berbincang dengan Menteri Besar Terengganu berhubung isu notis amaran kepada Felda dan FGV
  • Isu ini dianggap penting kerana Felda berada di bawah Jabatan Perdana Menteri
  • Perbincangan bertujuan menyelesaikan masalah demi kepentingan rakyat Terengganu dan Malaysia
  • Felda dan FGV sedang mengkaji semula dokumen untuk menyelesaikan isu notis amaran dari Kerajaan Terengganu
  • Notis amaran tidak mempengaruhi operasi ladang peneroka dan komuniti peneroka di Terengganu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!