Albert Tei didakwa beri suapan hampir RM177,000 kepada Shamsul Iskandar

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ahli perniagaan, Albert Tei mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas empat pertuduhan memberi rasuah RM176,829.03 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pada 2023 dan tahun lalu.
Albert Tei Jiann Cheing, 37, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin.
"Saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan," katanya yang memakai kot berwarna hitam dan berbaju T berkolar hijau.
Mengikut semua pertuduhan, dia didakwa memberikan suapan wang tunai RM140,000 dan kelengkapan perabot termasuk barangan lektrik bernilai masing-masing RM14,580.03 dan RM22,249 kepada Shamsul Iskandar sebagai dorongan membantu syarikat tertuduh mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Kesalahan didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini dan Presint 14, Putrajaya antara 24 November 2023 dan 5 Mac 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan sementara Albert diwakili peguam, Latheefa Koya.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan berkata, kesalahan berkenaan termasuk dalam kes yang tidak boleh diikat jamin.
Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya mahkamah berhasrat menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, beliau mencadangkan tertuduh diberi jaminan sebanyak RM300,000 dengan dua penjamin.
Katanya, ia termasuk syarat tambahan iaitu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah, dilarang mengganggu saksi dan melaporkan diri ke ibu pejabat SPRM sekali setiap bulan.
“Albert bukan sahaja mempunyai rangkaian perniagaan di Sabah dan Sarawak malah Singapura selain sekali gus berpotensi untuk melarikan diri.
“Sebelum ini, dia kurang memberi kerjasama selain berkecenderungan untuk mengganggu saksi pendakwaan,” katanya yang turut hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar.
Bagaimanapun, peguam, Latheefa Koya yang mewakili bapa kepada dua anak itu menafikan anak guamnya tidak memberi kerjasama selain membuat kenyataan di media sosial.
Menurutnya, buat masa ini, isu Albert sebagai sumber pemberi maklumat atau sama ada sepatutnya diberi perlindungan, tidak menjadi persoalan yang perlu diperdebatkan.
“Anak guam saya kini menghadapi pendakwaan bersama-sama dua pihak lagi di Sabah atas kesalahan hampir serupa dan terlibat mendedahkan perlakuan rasuah sejak Oktober 2024.
“Bagi syarat serahan pasport, dokumen perjalanan itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa ketika siasatan bermula.
“Setakat ini tiada laporan ahli perniagaan itu gagal melapor diri di pejabat SPRM seperti yang diarahkan mahkamah,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Suzana membenarkan Albert diikat jamin sebanyak RM70,000 dengan dua orang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 8 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, timbul isu dakwaan bahawa seorang ahli perniagaan telah memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri untuk mendapatkan semula wang yang diberikan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.
Ringkasan AI
- Albert Tei mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri
- Dia didakwa memberikan suapan tunai dan kelengkapan perabot bernilai RM176,829.03
- Kesalahan dilakukan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan Putrajaya antara 24 November 2023 dan 5 Mac 2024
- Di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda
- Albert dan Shamsul Iskandar direman untuk membantu siasatan, manakala seorang lagi individu juga direman
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
