Pengait sawit mengaku tidak bersalah rompak bekas kekasih

Thanabalan tidak mengaku salah atas pertuduhan merompak bekas kekasih di hentian rehat Pintu Gerbang Ayer Keroh awal bulan ini
Thanabalan tidak mengaku salah atas pertuduhan merompak bekas kekasih di hentian rehat Pintu Gerbang Ayer Keroh awal bulan ini
A
A
A

MELAKA – Seorang pengait sawit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan melakukan rompakan ke atas bekas kekasihnya di hentian rehat Pintu Gerbang Ayer Keroh awal bulan ini.

Tertuduh, R Thanabalan, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa melakukan rompakan terhadap mangsa, S Bavani, 27, kira-kira jam 10.30 pagi pada 2 Ogos lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah itu dikurangkan kerana tidak berkemampuan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!