Budak maut tertinggal dalam kereta: Siasatan masih berjalan, punca kematian belum dapat ditentukan

Alzafny
Alzafny
A
A
A

SEREMBAN - Polis masih menjalankan siasatan berhubung kes kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, yang maut selepas dipercayai tertinggal di dalam kereta ibunya di Jalan Tunku Hassan, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, sehingga kini seramai tujuh saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

"Siasatan masih sedang berjalan dan setakat ini tujuh saksi telah dirakam percakapan termasuklah ayah dan ahli keluarga kanak-kanak itu serta saksi bebas.

"Ibu kepada kanak-kanak berkenaan yang ditahan sebelum ini telah pun dibebaskan dengan jaminan polis selepas dirakam percakapan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, polis kini sedang menunggu keputusan toksikologi selepas hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematiannya 'undetermined' atau masih belum dapat ditentukan.

Tambahnya, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Saya tak pasti berapa lama tempoh keputusan toksikologi itu akan diperolehi, tapi mungkin mengambil sedikit masa.

"Saya mohon kepada orang ramai supaya hentikan membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian bagi membantu menjaga sensitiviti keluarga," katanya.

Sebelum ini media melaporkan kanak-kanak lelaki terbabit dipercayai tertinggal di dalam kereta ibunya selama sembilan jam iaitu dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu hanya disedari ibunya yang berusia 35 tahun dan bekerja di sebuah bank di kawasan berkenaan sebaik mahu pulang ke rumah.

 

Ringkasan AI

  • Polis masih menjalankan siasatan kes kanak-kanak lelaki dua tahun maut dipercayai tertinggal dalam kereta
  • Tujuh saksi telah dirakam percakapan termasuk ayah dan ahli keluarga
  • Ibu kanak-kanak tersebut telah dibebaskan dengan jaminan polis
  • Polis menunggu keputusan toksikologi selepas bedah siasat mendapati punca kematiannya masih belum dapat ditentukan
  • Kanak-kanak dipercayai tertinggal dalam kereta ibunya selama sembilan jam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!