Gagal bayar cukai RM15 juta, lelaki diisytihar bankrap

Mahkamah Tinggi menolak permohonan Sayyid Shah Abdullah, untuk menggantung prosiding kebankrapan yang difailkan oleh kerajaan Malaysia sebagai pemiutang penghakiman. - Gambar hiasan
Mahkamah Tinggi menolak permohonan Sayyid Shah Abdullah, untuk menggantung prosiding kebankrapan yang difailkan oleh kerajaan Malaysia sebagai pemiutang penghakiman. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang individu diisytiharkan bankrap selepas gagal membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM15 juta bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.

Perintah itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak permohonan Sayyid Shah Abdullah, 51, selaku penghutang penghakiman, untuk menggantung prosiding kebankrapan yang difailkan oleh kerajaan Malaysia sebagai pemiutang penghakiman.

Peguam Hasil Qhistina Mohd Apandi yang mewakili kerajaan berkata, prosiding kebankrapan itu difailkan susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 20 April 2022 yang membenarkan permohonan kerajaan untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Sayyid Shah berhubung tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM14,463,166.14 bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.

"Tunggakan ini termasuk kenaikan cukai yang telah menjadi terhutang dan perlu dibayar kepada Kerajaan Malaysia. Prosiding kebankrapan ini dimulakan sejak 27 Jan 2023 melalui pemfailan notis kebankrapan dan berlarutan selama beberapa tahun susulan pelbagai permohonan yang difailkan.

"Akhirnya, mahkamah mengisytiharkan perintah kebankrapan terhadap Sayyid Shah,” katanya kepada media hari ini.

Semalam, prosiding itu dijalankan di dalam kamar Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Norbert Liew Chee Vui, yang turut dihadiri peguam Lee Teong Hooi, mewakili Sayyid Shah. - Bernama

 

 

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Seorang individu diisytiharkan bankrap kerana gagal membayar tunggakan cukai pendapatan RM15 juta dari 2011 hingga 2017
  • Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan penggantungan prosiding kebankrapan
  • Kerajaan Malaysia sebagai pemiutang penghakiman memfailkan prosiding kebankrapan
  • Tunggakan cukai termasuk kenaikan yang terhutang kepada Kerajaan Malaysia
  • Mahkamah mengisytiharkan perintah kebankrapan terhadap Sayyid Shah, berlarutan dari 27 Jan 2023

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!