Jualan dulang emas meningkat berkali ganda

Mohamad Hafizudin menunjukkan dulang emas kayu merbau yang dijualnya.
Mohamad Hafizudin menunjukkan dulang emas kayu merbau yang dijualnya.
A
A
A

JELI – Pengumuman Kerajaan Kelantan yang membenarkan rakyat negeri ini mendulang emas secara sah mencetuskan lonjakan mendadak terhadap permintaan dulang emas berkualiti tinggi yang diperbuat daripada kayu merbau, khususnya dalam kalangan penduduk setempat.

Penjual dulang emas, Mohamad Hafizudin Mohamad Khairi, 27, dari Batu Melintang berkata, permintaan bagi alat yang dijual pada harga antara RM300 hingga RM400 itu meningkat berkali ganda hanya dalam tempoh dua hingga tiga hari selepas pengumuman dibuat.

Menurutnya, sebelum ini beliau hanya menjual dua atau tiga unit sebulan, namun sejak gelombang tular mendulang emas bermula, sebanyak 15 dulang terjual dalam masa singkat dan mesej pertanyaan pelanggan diterima tanpa henti.

“Sekarang saya tak sempat nak balas. Mesej masuk bertalu-talu, ramai tanya nak beli dulang, bukan sahaja orang Kelantan, malah dari negeri lain seperti Pahang,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Hafizudin yang bekerja sebagai buruh binaan menjadikan penjualan dulang emas sebagai kerja sampingan sejak dua tahun lalu.

Katanya, permintaan kali ini luar biasa sehingga memaksa beliau menyusun semula masa untuk membalas pertanyaan pelanggan.

Hasil emas yang didulang Mohamad Hafizudin.
Hasil emas yang didulang Mohamad Hafizudin.

Beliau menjual dulang emas yang diperbuat daripada kayu merbau dengan saiz antara 15 hingga 20 inci.

Artikel Berkaitan:

“Dulang kayu lebih digemari pendulang berpengalaman kerana permukaannya yang kesat memudahkan emas melekat.

“Dulang plastik pula ramai beli kerana murah... serendah RM60, tapi mudah pecah jika terkena batu besar dan agak licin.

“Kalau dulang kayu, lebih selesa kerana berat, seimbang dan emas mudah lekat pada permukaannya,” katanya.

Menurut beliau, setakat ini bekalan masih mampu ditampung kerana terdapat stok sedia ada sebelum isu mendulang emas menjadi tular.

Namun begitu, beliau berharap orang ramai dapat menjaga kawasan sungai dan tidak berkumpul terlalu ramai di satu lokasi bagi mengelakkan air keruh dan menjejaskan peluang pendulang lain.

“Kawasan emas ini kena jaga. Kalau ramai sangat, air cepat keruh dan tempat itu akan jadi tumpuan pula,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Kelantan membenarkan rakyatnya mendulang emas secara sah
  • Permintaan dulang emas dari kayu merbau meningkat dengan mendadak
  • Mohamad Hafizudin jual 15 dulang dalam masa singkat berbanding 2-3 sebulan sebelum ini
  • Dulang kayu lebih digemari kerana permukaannya kesat memudahkan emas melekat
  • Mohamad Hafizudin berharap orang ramai menjaga kebersihan sungai semasa mendulang emas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!