X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan tumpu pelaburan domestik, kekalkan pekerjaan: PM

Jahenab Maryani (kiri) bersama suami, Mohalim Isman (tengah) dan menantuya, Khairul Hazwan Jasni (kanan) mengikuti pengumuman khas Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di rumahnya di Kampung Baru hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memberi tumpuan kepada aktiviti pelaburan domestik yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan mengekalkan pekerjaan, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Bagi tujuan ini, katanya, kerajaan telah mengenal pasti beberapa projek kecil bernilai RM2 bilion seperti menambah baik jalan, menaik taraf sekolah daif di Sabah dan Sarawak serta membersihkan rumah ibadat dan balai polis.

Di samping itu, Muhyiddin berkata, kerajaan akan turut meningkatkan kemudahan pelancongan yang akan memanfaatkan kontraktor kelas G1 hingga G4.

“Kerajaan juga akan melaksanakan projek kecil bernilai RM2 bilion yang diumum dalam pakej sebelum ini pada April 2020,” katanya semasa mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) di sini hari ini.

Projek-projek ini termasuklah projek infrastruktur di kawasan Felda dan lain-lain bernilai RM600 juta, projek membaik pulih sekolah daif di Sabah dan Sarawak bernilai RM350 juta dan projek membaik pulih perumahan rakyat termiskin bernilai RM150 juta.

"Kerajaan juga akan meneruskan pelaksanaan semua projek yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Projek Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) atau MRT 2 serta Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara.

"Usaha ini selaras dengan fokus Kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan," kata Perdana Menteri. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!