Dua kali ditangkap khalwat dengan kekasih bukan Islam, duda dipenjara enam bulan

MELAKA - Seorang duda dijatuhi hukuman denda RM6,000 dan penjara enam bulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkhalwat dengan seorang wanita bukan Islam di sebuah rumah di Krubong pada September dan tengah malam Rabu.
Hakim Syarie, Mohd Yunus Mohamad Zin, menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Ibrahim Bacha, 49, selepas mendengar fakta kes, rayuan serta hujah pihak pendakwaan.
Mahkamah turut memerintahkan tambahan penjara enam bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, pada 11 September 2025, jam 12.05 tengah malam, tertuduh didapati berkurung dalam sebuah rumah di PPR Krubong bersama seorang wanita berusia 49 tahun yang bukan isteri atau mahramnya.
Pada tengah malam Rabu, tertuduh sekali lagi ditahan bersama wanita sama dan di lokasi sama.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 53(1) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum 24 bulan atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie, Radzwan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam rayuannya, tertuduh mendakwa menumpang di rumah wanita tersebut kerana tidak mampu menyewa rumah sendiri berikutan pendapatan tidak tetap sebagai pemandu lori.
Namun hakim menegaskan bahawa sebagai seorang Islam, tertuduh sepatutnya mendapatkan bantuan daripada Baitulmal dan tidak tinggal serumah dengan wanita bukan mahram.
"Kamu tak serik ke kena tangkap kali kedua, seolah-olah kamu mencabar undang-undang. Nanti lepas keluar (mahkamah) buat lagi. Jangan tinggal di situ lagi".
Sementara itu, dalam hujah pemberat, Radzwan memohon hukuman lebih tegas kerana tertuduh didakwa berulang kali melakukan kesalahan sama.
“Walaupun hanya dua pertuduhan dikemukakan, rekod menunjukkan tertuduh telah melakukan beberapa kesalahan serupa sebelum ini.
“Dia tahu tiada hubungan sah namun masih tinggal bersama.
"Saya mohon hukuman penjara diberikan kerana jika denda sahaja, semua orang boleh membayarnya,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama, serta penjara enam bulan dan denda RM3,000 atau tambahan enam bulan penjara bagi kesalahan kedua.
Ringkasan AI
- Seorang duda di Melaka dijatuhi denda RM6,000 dan penjara enam bulan atas pertuduhan berkhalwat
- Hakim Syarie, Mohd Yunus Mohamad Zin, menjatuhkan hukuman itu selepas mendengar fakta kes
- Tertuduh didapati berkurung dalam sebuah rumah bersama seorang wanita bukan Islam pada 11 September 2025
- Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 53(1) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991
- Tertuduh mendakwa menumpang di rumah wanita tersebut kerana tidak mampu menyewa rumah sendiri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


