Dua ekor tapir berkeliaran tepi jalan

KUANTAN - Kelibat dua ekor tapir berkeliaran di tepi Jalan Sungai Isap di sini pada lewat malam Selasa mengejutkan pengguna jalan raya di kawasan tersebut.
Kejadian itu tular selepas video berdurasi 34 saat dimuat naik seorang pengguna laman sosial yang merakamnya dari dalam kenderaan.
Dalam rakaman tersebut, kelihatan seekor tapir dewasa dan seekor lagi lebih kecil sedang makan di kawasan berdekatan semak.
Pemandu kenderaan yang merakam kejadian dilihat memperlahankan kenderaan sambil memaklumkan terdapat dua ekor haiwan berkenaan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampiri haiwan liar itu kerana boleh mencetuskan provokasi.
Menurutnya, walaupun haiwan ini kelihatan jinak tetapi ia juga mempunyai sifat mempertahankan diri daripada ancaman.
“Terdapat beberapa kejadian di mana orang ramai digigit oleh tapir sehingga membawa kecederaan parah,” katanya ringkas.
Sehubungan itu, orang ramai diminta supaya melaporkan kepada Perhilitan dan tidak bertindak sendiri.
“Jika berada di jalan raya dan ternampak tapir, pemandu digalakkan memperlahankan kenderaan kerana pergerakan haiwan liar sukar dijangka bagi mencegah kemalangan,” katanya.
Ringkasan AI
- Kelibat dua ekor tapir di tepi Jalan Sungai Isap Kuantan mengejutkan pengguna jalan raya
- Kejadian itu tular melalui video yang dimuat naik oleh pengguna laman sosial
- Tapir dewasa dan anaknya kelihatan sedang makan di kawasan berdekatan semak
- Pengarah Perhilitan Pahang menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampiri haiwan liar itu
- Orang ramai diminta melaporkan kehadiran tapir kepada Perhilitan dan memperlahankan kenderaan jika ternampak tapir di jalan raya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

