Pahang peruntuk lebih RM3.78 juta bekalan makanan kering hadapi MTL

LIPIS – Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan lebih RM3.78 juta bagi penghantaran bekalan makanan kering ke pangkalan hadapan di seluruh negeri sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata peruntukan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang itu merangkumi RM3.65 juta bagi penyediaan bekalan makanan kering dan RM128,000 lagi untuk kos logistik, pengangkutan serta tenaga buruh di 11 daerah.
Menurutnya, proses penghantaran ke semua pangkalan hadapan akan bermula dalam tempoh dua minggu, iaitu dari 27 Oktober hingga 14 November depan.
“Persediaan awal logistik ini amat kritikal terutama bagi kawasan pedalaman yang berisiko tinggi terputus hubungan jalan darat.
“Antaranya kawasan hulu sungai di Jerantut dan Lipis serta kawasan pulau seperti Pulau Tioman di Rompin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rasmi Penghantaran Bekalan Makanan Kering Ke Pangkalan Hadapan Peringkat Negeri Pahang bagi MTL 2026/2027 di Sungai Koyan, di sini pada Selasa.
Dalam ucapannya, Wan Rosdy berkata, penghantaran bekalan ke pangkalan hadapan sebelum bermulanya hujan lebat merupakan kunci utama bagi mengelakkan situasi panik pada saat-saat akhir.
Menurut beliau, pelaburan melebihi RM3.78 juta itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menjamin sekuriti makanan mangsa banjir.
“Bantuan yang pantas dan mencukupi adalah perkara yang tidak boleh dikompromi.
“Pengagihan stok dipadankan dengan data sejarah impak banjir, di mana Jerantut menerima agihan tertinggi melebihi RM1.06 juta berikutan kompleksiti logistik di kawasan hulu sungai,” katanya.
Beliau berkata, Temerloh menerima peruntukan sebanyak RM962,153 manakala Rompin menerima RM638,782 termasuk persediaan stor logistik khas di Pulau Tioman.
“Bagi daerah Lipis pula, sebanyak RM82,126 diperuntukkan untuk mengisi 18 pangkalan hadapan termasuk di Balairaya Chegar Perah, Masjid Bertang dan Dewan Terbuka Kampung Mela.
“Kesemua bekalan makanan yang dihantar memenuhi spesifikasi pasaran yang disahkan, dipantau tempoh hayatnya serta mempunyai ketahanan penyimpanan yang tinggi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

