Pahang terus perkasa agenda bela nasib OKU - Wan Rosdy

KUANTAN- Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merakam penghargaan kepada seluruh komuniti orang kurang upaya (OKU) di negeri ini yang sentiasa tabah, bersemangat juang dan menunjukkan kekuatan luar biasa dalam menempuh cabaran kehidupan.
Beliau berkata, kerajaan negeri kekal komited memperkasa agenda inklusiviti melalui penyediaan kemudahan, peluang pendidikan, sokongan kebajikan, latihan kemahiran serta akses kepada pekerjaan dan keusahawanan kepada golongan itu.
Menurutnya, kemajuan sebenar sesebuah negeri bukan hanya diukur melalui angka pembangunan, tetapi melalui sejauh mana kita menjaga dan meraikan setiap insan tanpa mengira upaya.
"Kepada semua warga OKU, anda bukan di belakang pembangunan tetapi sebahagian daripada kekuatannya.
"Terima kasih kerana terus menginspirasi kami," katanya melalui satu hantaran sempena sambutan Hari Orang Kurang Upaya Kebangsaan 2025 di Facebook rasminya pada Rabu.
Wan Rosdy berkata, tema sambutan itu tahun ini adalah, 'Masyarakat Inklusif OKU Kunci Kemajuan Sosial' sangat bertepatan dengan hala tuju kerajaan negeri khususnya menerusi Aspirasi Pahang 1st.
"Ia bagi memastikan pembangunan Pahang sentiasa berteraskan nilai ihsan, kesaksamaan dan keberdayaan untuk semua," katanya.
Sambutan Hari OKU Sedunia diraikan pada 3 Disember setiap tahun bagi mengiktiraf, menghormati dan memperjuangkan hak serta penyertaan penuh golongan OKU dalam masyarakat.
Tema tahun ini memberi fokus kepada peluang sama rata untuk semua di mana golongan OKU juga mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan yang baik seperti individu lain.
Ringkasan AI
- Menteri Besar Pahang menghargai semangat juang OKU di negeri itu
- Kerajaan negeri berkomitmen untuk inklusiviti OKU melalui penyediaan kemudahan dan peluang
- Kemajuan negeri diukur melalui perlindungan dan penerapan nilai pada semua individu tanpa mengira keupayaan
- Tema Hari Orang Kurang Upaya Kebangsaan 2025 ialah 'Masyarakat Inklusif OKU Kunci Kemajuan Sosial'
- Hari OKU Sedunia yang diraikan pada 3 Disember menekankan penyertaan penuh dan hak sama rata bagi OKU
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

